JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim, Esteban Salori memberi bayangan bakal ada rombakan dalam kesebelasan utama apabila melayani kunjungan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Pertembungan dua pasukan itu dianggap epik memandangkan kedua-duanya belum tewas selepas mengharungi lima perlawanan dengan JDT kekal selaku pendahulu liga selepas mengumpul 15 mata manakala skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketinggalan dua mata di tangga kedua.
Solari menegaskan aksi menentang Sabah FC malam esok boleh dianggap sukar memandangkan pasukan itu mempamerkan prestasi konsisten selepas lima perlawanan dan kualiti yang dipamerkan setiap pemain pasukan itu tidak boleh di pandang remeh.
"Oleh itu, kami perlu fokus dengan pendekatan taktikal yang ampuh sepanjang 90 minit perlawanan nanti. Walaupun kami menunjukkan prestasi yang baik dan mengekalkan konsistensi tapi masih ada ruang untuk penambahbaikan dan kami tidak boleh terlalu selesa.
"Walaupun secara keseluruhan pemain berada dalam keadaan baik namun ada beberapa antara mereka belum cergas sepenuhnya dan menjalani proses rehabilitasi, sebab itu akan ada rombakan dalam kesebelasan utama.
"Bergson (Da Silva) masih dibelenggu kecederaan dan belum boleh beraksi pada perlawanan itu tapi ada berita baik buat JDT apabila Natxo (Insa) tampak bersedia untuk beraksi selepas beberapa bulan diketepikan akibat kecederaan belakang," katanya.
Mengenai status Arif Aiman dan Endrick Dos Santos, pengendali kelahiran Argentina itu mengesahkan kedua-dua pemain belum 100 peratus cergas akibat kecederaan ketika menjalani kem latihan pusat skuad kebangsaan di Johor.
Situasi itu menyaksikan kemungkinan kelibat Ramadhan Saifullah Usman bakal mengisi kekosongan di posisi sayap kanan manakala Natxo akan mengisis posisi tengah menggantikan Dos Santos manakala penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang mengalami kecederaan di kepala ketika menentang Hong Kong, Selasa lalu kemungkinan belum pasti diturunkan.
Apapun, Sabah FC tidak dapat menurunkan Daniel Ting pada perlawanan itu nanti memandangkan pemain berkenaan di pinjamkan oleh JDT kepada skuad Kim Swee pada musim ini dan senario itu memberi sedikit kelebihan untuk beri tekanan di posisi bek kiri.