SEREMBAN: Pengemudi jentera tengah Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohamad Safuwan Baharuddin yakin pasukannya mampu mengekalkan rentak terbaik dalam setiap perlawanan saingan Liga Super selepas berjaya melakar kemenangan pertama musim ini.
Pemain import dari Singapura itu menyifatkan kejayaan menewaskan Terengganu FC (TFC), 2-1, pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 16 Mac lalu, dapat meningkatkan keyakinan pemain untuk beraksi cemerlang dan mencipta kemenangan.
"Kemenangan yang dicapai itu menunjukkan prestasi pasukan sudah meningkat berbanding tiga perlawanan terdahulu iaitu menentang Sri Pahang FC dan Penang FC yang berakhir dengan keputusan seri disusuli tewas besar kepada Johor Darul Ta[zim (JDT) FC.
"Kejayaan itu juga pasti dapat meningkatkan keyakinan diri setiap pemain untuk memberikan persembahan cemerlang dan memastikan kemenangan berterusan dicapai.
"Saya yakin graf peningkatan prestasi yang baik ini akan dapat diserlahkan lagi dalam perlawanan akan datang terutama pada pertembungan menentang Kelantan FC, di tempat sendiri, Sabtu ini," kata Safuwan.
Safuwan yang tampil dalam musim pertama bersama skuad Hobin Jang Hobin selaku pemain import kuota Asean, setakat ini dilihat berjaya memainkan peranan yang berkesan di bahagian tengah.
Malah, dalam empat perlawanan liga yang dihadapi sebelum ini, pemain lincah yang juga boleh beraksi di posisi penyerang dan pertahanan itu terus kekal dalam kesebelasan utama pasukan bimbingan K Devan itu.
Menurut Safuwan, fokus utamanya adalah memastikan setiap persembahannya dapat memberi impak positif kepada kekuatan dan perancangan pasukan serta akhirnya membawa kepada kemenangan Negeri Sembilan.
"Melihat kepada cabaran seterusnya, saya perlu terus bekerja keras meningkatkan lagi prestasi dalam persembahan kerana saingan liga kian sengit apatah lagi masih banyak perlawanan yang perlu kami hadapi.
"Kami perlu pastikan pasukan dapat kekalkan persembahan terbaik dan dalam masa sama memastikan tidak kehilangan mata dalam setiap perlawanan bagi menjamin kedudukan yang baik dalam carta liga," katanya.
Mengenai aksi dengan Kelantan, Sabtu ini, bekas pemain Selangor FC berusia 32 tahun itu berkata pertembungan berkenaan bukan mudah dan pemain Negeri Sembilan perlu berhati-hati dengan jentera pasukan itu yang agresif.
"Kelantan dilihat pasukan yang boleh menyekat mana-mana lawan, malah mereka berjaya menjaringkan gol hampir setiap perlawanan. Kami perlu berhati-hati dan berusaha memastikan jentera serangan mereka dapat disekat," kata pemain yang sering digandingkan dengan Levy Clement Madinda, Mohd Hasbullah Abu Bakar dan Tommy Mawat Bada di posisi berkenaan.