JOHOR BAHRU: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon bersikap tenang dan realistik selepas kehilangan Arif Aiman Hanapi dan Endrick Dos Santos bagi aksi persahabatan menentang Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok
Pengendali kelahiran Korean Selatan itu berkata sepanjang 12 tahun selaku jurulatih kebangsaan bersama Hong Kong dan Harimau Malaya memang sukar untuk menyenarai barisan pemain terbaik seperti apa diidamkan.
Katanya, ketiadaan dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak memberi kesan besar terhadap persiapan skuadnya berdepan skuad kendalian Joern Andersen yang pastinya ingin menebus kekecewaan tewas 0-2 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalili, 1 Jun lalu.
"Saya rasa simpati dengan apa yang berlaku terhadap Arif (Aiman Hanapi) dan Endrick (Dos Santos) yang mengalami kecederaan. Mereka perlu dilepaskan bagi memastikan kecederaan yang dialami pulih secepat mungkin.
"Apapun, sepanjang 12 tahun pengalaman selaku jurulatih sama ada di Hong Kong mahupun di Malaysia. Jarang untuk saya dapat mengumpul barisan pemain yang sempurna tapi itulah lumrah dan menerima apa jua yang berlaku.
"Saya optimis dengan 25 pemain yang sedia ada kerana mereka boleh beraksi jika tersenarai dalam skuad utama. Malah pemain ini membentuk satu pasukan yang kuat dan tidak terlalu bergantung kepada dua pemain sahaja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pan Gon menegaskan barisan pemain sedia ada sudah tampak tidak berdepan masalah untuk mempratikkan pendekatan taktikal yang dirancang apabila berdepan anak didik Andersen yang tampak bersemangat selepas melakar keputusan seri 1-1 dengan Singapura, Khamis lalu.
Katanya tanpa Arif dan Dos Santos bukan bermakna satu pasukan itu tidak perlu beraksi dengan cantik sebaliknya akan tampil lebih kuat kerana ia penting jika semua pemain mempunyai jiwa yang tinggi untuk mencapai kejayaan.
"Saya tidak pernah menyerah kalah dan kata diri ini tidak mampu buat, sebaliknya harus bersikap positif dan perlu mempercayai kepada setiap pemain kerana kami berada dalam satu pasukan. Itu amat penting dan tidak sesekali bergantung kepada seorang atau dua pemain," kata Pan Gon.