Ahad, 26 March 2023 | 8:36pm
Pemain import Sri Pahang FC, Sherzod Fayziev menyediakan sendiri hidangan berbuka puasa di kediamannya di Kuantan berikutan isterinya berada di Uzbekistan. - Foto ihsan Sherzod Fayziev
Pemain import Sri Pahang FC, Sherzod Fayziev menyediakan sendiri hidangan berbuka puasa di kediamannya di Kuantan berikutan isterinya berada di Uzbekistan. - Foto ihsan Sherzod Fayziev

Fayziev lebih gemar berbuka puasa di rumah

KUANTAN: Biarpun berjauhan dengan isteri dan dua anak lelakinya, pemain import Sri Pahang FC, Sherzod Fayziev tidak berdepan kesukaran untuk melaksanakan ibadah puasa sepanjang Ramadan di negeri ini.

Bagi pemain pertahanan berusia 31 tahun dan berasal dari Uzbekistan itu, dia tetap gembira kerana dapat menjalani ibadah puasa seperti masyarakat Islam lain.

"Pada masa sama, saya tidak memilih makanan kerana makanan di negara saya dan Malaysia adalah sama kerana banyak yang halal," katanya ketika ditanya mengenai pengalaman berpuasa di negara ini berbanding negara asalnya.

"Saya juga tidak memilih makanan dan kebiasaannya saya gemar makan nasi lemak serta masakan daging dan ikan di sini. Ketika sahur, saya akan makan daging, telur, kurma dan minum susu manakala berbuka dengan kurma dan makan malam pula ialah nasi, sup dan salad,".

Fayziev yang pernah beraksi bersama Lokomotiv Tashkent dari 2020 hingga 2022 berkata dia lebih gemar makan di rumah kerana tahu memasak.

Ketika ini dia tinggal seorang diri di sini kerana isterinya, Maftuna dan dua anaknya, Ali, 6, dan Bilal, 3, kini berada di Tashkent bersama ayah dan ibunya.

"Sepanjang Ramadan ini, sudah pasti saya akan sering makan hidangan makanan dari negara saya iaitu Osh yang dihantar dengan bantuan isteri," katanya yang tekad menampilkan aksi terbaik bersama Tok Gajah musim ini.

Berita Harian X