JOHOR BAHRU: Penjaga gol skuad Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menyerahkan nasibnya kepada Kim Pan Gon untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi aksi persahabatan menentang Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.
Ahmad Syihan yang dipilih sebagai pemain terbaik ketika aksi menentang Turkmenistan, Khamis lalu, berkata, apa yang dilakukannya sepanjang perlawanan yang menyaksikan mereka menang 1-0 adalah hasil kerjasama berpasukan.
"Sudah tentu lega apabila saya mampu menjaga gawang untuk mengelak daripada dibolosi. Semua pemain memberi tumpuan penuh pada perlawan itu yang berintensiti tinggi dan kita lihat bagaimana pasukan lawan begitu rakus mengasak benteng kita.
"Paling utama saya perlu bersedia dengan apa jua cabaran dari pasukan lawan lebih-lebih lagi mereka mahu membalas dendam terhadap kekalahan pada bulan Jun lalu. Saya tidak menafikan ia perlawanan sukar buat kami," katanya.
Pada perlawanan itu, Ahmad Syihan ternyata tidak senang duduk apabila diasak skuad kendalian Mergen Orazov yang bertali arus melancarkan serangan sejak sepak mula.
Susulan serangan berkenaan pada minit ke-11, menyaksikan Ahmad Syihan terpaksa dirawat selepas bertindak menghalang Ruslan Mingazov yang hampir menjaringkan gol.
"Apa yang berlaku (cedera di muka dan kaki) memang tidak dijangka. Mujur ia tidak serius dan saya boleh meneruskan permainan.
"Untuk aksi menentang Hong Kong, Selasa ini, sebagai pemain saya perlu bersedia dari aspek mental dan memberi fokus kerana aksi menentang Turkmenistan adalah berbeza," katanya.