TANGIERS, Maghribi: Maghribi mengejutkan Brazil 2-1 dalam aksi persahabatan dan ia adalah kemenangan pertama pasukan Afrika itu ke atas juara dunia lima kali berkenaan.
Pemain tengah, Sofiane Boufal, bekas bintang Southampton yang kini bersama Al Rayyan di Qatar, meletakkan Maghribi di depan selepas 29 minit hasil hantaran Bilal El Khannous.
Kapten Brazil, Casemiro menyamakan kedudukan pada minit ke-67 selepas percubaannya gagal ditangkap kemas penjaga gol, Yassini Bounou.
Abdelhamid Sabiri meledak gol kemenangan Maghribi pada minit ke-79 bagi membuktikan kejayaan mereka menjadi negara Arab atau Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu bukan kerana nasib.
"Saya tidak rasa kami kurang persefahaman, hanya belum serasi dengan falsafah cuba diterapkan jurulatih baharu," kata pemain Manchester United, Casemiro.
Hanya 10 daripada 23 pemain yang membarisi skuad Brazil ke Piala Dunia Qatar, di mana mereka tersingkir di suku akhir, menyertai pasukan untuk aksi persahabatan di Maghribi.
Neymar masih belum pulih dan jersi bernombor 10 disarung pemain muda Real Madrid, Rodrygo. - AFP