KUALA LUMPUR: Final Piala Merlion 2023 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini disifatkan sebagai satu aksi yang menarik oleh pengendali skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, E Elavarasan.
Mana tidaknya, selepas anak buahnya berdepan skuad muda Hong Kong malam ini, dua hari berikutnya pula giliran skuad Harimau Malaya pula menguji pasukan senior negara berkenaan di Stadium Sultan Ibrahim.
Justeru, dengan kejayaan mengesahkan tiket ke final, Elavarasan mengakui gelaran juara menjadi impian mereka, namun ia bukanlah satu perkara yang mudah dan menuntut usaha keras daripada barisan pemainnya.
"Dua-dua pasukan pun sama (mahu juara) apabila sudah berada di final. Mereka juga pasti berfikiran sama seperti kita. Kita bukan main untuk sekadar mendapat nombor dua ataupun masuk final. Nombor satu (juara) penting untuk kita," kata Elavarasan.
Sebagai rekod, Malaysia mara ke final selepas menumbangkan Kemboja 4-2 pada aksi yang berlangsung pada sebelah petang kelmarin manakala Hong Kong menang 1-0 ke atas tuan rumah, Singapura.
Dalam masa sama, Elavarasan tetap melihat barisan pemain skuad B-22 berdepan cabaran walaupun aksi final berlangsung pada sebelah malam dan tidak seperti aksi berdepan Kemboja pada sebelah petang.
"Bukan satu kerja yang senang untuk bermain pada bulan puasa sepanjang 90 minit. Jadi kita harus memuji usaha mereka menghadapi cabaran itu.
"Tetapi banyak lagi kekurangan yang boleh diperbaiki untuk memastikan pasukan kita menjadi lebih baik," katanya.
Keputusan
Kemboja 2-4 Malaysia
Singapura 0-1 Hong Kong
Final
Hari ini
Malaysia mln Hong Kong
Std Jalan Besar, 7.30 malam