KUALA LUMPUR: Kejayaan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi diintai pasukan Liga 1 Jepun (Liga J), Kashiwa Reysol mencerminkan betapa pentingnya pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk beraksi di pentas Asia.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menjelaskan peluang pasukan Liga M beraksi pada Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC sebenarnya memberi peluang untuk mereka 'menjual' bakat pemain sekali gus menarik perhatian pasukan luar.
Ini kerana Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melihat saingan Liga M ketika ini belum cukup kuat untuk 'menjentik' pencari bakat dalam mencari permata baharu yang boleh diketengahkan.
"Dengan adanya pasukan kita yang beraksi di saingan pertandingan Asia, ini memberikan 'visibility' (keterlihatan) kepada bakat yang ada dalam negara ini. Kita harus akur tidak ramai yang memandang pasukan dalam negara ini.
"Realitinya, liga kita belum sampai ke tahap di mana semua orang mahu beri tumpuan. Jadi apabila pasukan kita beraksi misalnya di ACL dan Piala AFC, ini membuka mata pihak luar bahawa kita pun ada pemain yang hebat.
"Kita dapat menarik perhatian orang kerana pasukan yang mampu beraksi di ACL dan Piala AFC bukanlah calang calang, sudah pasti pasukan ini dbarisi pemain yang sangat baik.
"Ini secara tidak langsung membuka laluan kepada bakat kita untuk diketengahkan dan pihak yang selama ini tidak tahu, jadi tahu kerana pembabitan kita di pertandingan Asia," katanya.
Terdahulu, Arif Aiman mencipta sensasi selepas Kashiwa Reysol dikatakan berminat untuk menyunting pemain sayap kebangsaan itu.
Perkembangan itu disahkan menerusi laporan portal bola sepak Jepun, Football Tribe yang melihat kejayaan JDT melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (ACL) musim lalu menyebabkan Arif Aiman menjadi tumpuan.
Namun, di sebalik minat ditunjukkan Kashiwa Reysol, impian pasukan itu tampak sukar memandangkan Arif Aiman ketika ini mahu meletakkan sepenuh fokus kepada skuad Harimau Selatan.