JOHOR BAHRU: Pemain tengah, Nooa Laine masih belum puas beraksi bersama skuad Harimau Malaya apabila hanya diturunkan pada pertengahan babak kedua ketika aksi persahabatan menentang Turkmenistan pada Khamis lalu.
Justeru, dia yang ditemui berharap namanya akan disenaraikan apabila berdepan Hong Kong pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, dekat sini, Selasa ini.
Pemain warisan Malaysia-Finland yang berusia 21 tahun itu hampir mencipta mencipta sensasi dengan menjaringkan gol pada penampilan sulung namun percubaannya tidak tepat ke arah pintu gol.
Justeru, pemain kelab SJK Seinajoki di Liga Finland dahagakan aksi bersama skuad Harimau Malaya untuk membuka rekod jaringan bersama pasukan selepas berjaya menarik perhatian ketua jurulatih, Kim Pan Gon
"Memang gembira apabila ketua jurulatih memasukkan saya pada babak kedua ketika menentang Turkmenistan. Itu adalah situasi di mana saya perlu menunjukkan kemampuan saya di atas padang.
"Walaupun beraksi dalam tempoh singkat tapi saya melaksankan tugas dengan baik . Bagaimanapun, saya tidak begitu berpuas hati kerana ada beberapa peluang mencipta jaringan namun gagal memanfaatkannya.
"Ia permulaan yang baik buat saya dan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi perlawanan seterusnya," katanya.
Laine yang pertama kali menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya mengakui perlukan masa untuk membentuk keserasian dengan pemain lain yang asing buatnya dan yakin proses itu berjalan lancar.
Katanya, dia menaruh kepercayaan yang tinggi buat Pan Gon untuk memanfaatkan kehadirannya dalam skuad kebangsaan pada aksi menentang Hong Kong, Selasa ini tapi semuanya bergantung kepada perancangan dan pendekatan taktikal pada aksi itu nanti.
"Semua keputusan dari ketua jurulatih. Saya menghormati apa jua yang diputuskan dan jika nama tersenarai sudah tentu saya akan beri yang terbaik dan tidak mensia-siakan peluang jika ada ruang menjaringkan gol," katanya.
Ditanya mengenai harapan tinggi diletakkan penyokong Harimau Malaya terhadapnya, Laine berkata, dia tidak mahu dibebani dengan tanggapan itu dan hanya beri tumpuan untuk lakukan yang terbaik.
Pan Gon sebelum ini akui tertarik dengan pemain kelab Liga Finland itu yang memiliki kualiti diperlukan menerusi rakaman perlawanan terdahulu.