JOHOR BAHRU: Pemain naturalisasi, Endrick Dos Santos puas dapat meraih kaps sulung bersama skuad Harimau Malaya ketika menewaskan Turkmenistan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin.
Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata, walaupun gagal menjaringkan gol pada aksi itu, namun dia tidak kecewa dan memasang tekad beraksi lebih cemerlang jika diberi diturunkan bertemu Hong Kong pada Selasa ini.
Katanya, kehadiran bersama pasukan kebangsaan adalah untuk mengimbangi kekuatan di posisi tengah sekali gus menjadi nadi utama untuk menggerakkan posisi itu supaya lebih efisien dengan taktikal ketua jurulatih Kim Pan Gon.
"Langsung tidak terkilan apabila tidak menjaringkan gol kerana saya hadir untuk membentuk barisan tengah yang lebih mantap. Saya berterima kasih kepada jurulatih yang memberi ruang dan peluang untuk beraksi. Kemenangan yang diraih sememangnya amat mengujakan.
"Walaupun saya beraksi sedikit ke bawah di posisi tengah dan tidak seperti ketika bersama JDT, saya selesa dengan apa yang diarahkan oleh jurulatih malah rakan sepasukan juga banyak membantu dalam perlawanan itu.
"Apapun, ada sedikit salah faham berlaku ketika beraksi di padang terutama untuk membuat lorongan kepada rakan memandangkan kami hanya menjalani latihan dalam tempoh yang agak singkat sekali gus masih memahami cara lenggok permainan rakan sepasukan," katanya.
Dos Santos menegaskan apa yang penting sepanjang sesi latihan skuad kebangsaan adalah membentuk persefahaman yang jitu .
"Untuk aksi Hong Kong, Selasa ini, kami bersedia malah kemenangan ke atas Turkmeninstan memberi keyakinan untuk berdepan pasukan lawan seterusnya. Apa yang penting kami dapat mengekalkan momentum permainan," katanya.