Jumaat, 24 March 2023 | 5:49pm
Pemain skuad Harimau Malaya, Matthew Davies (tengah) mengasak pemain Turkmenistan Mammedov Ybrayym (kiri) pada aks persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam. - Foto BERNAMA
Pemain skuad Harimau Malaya, Matthew Davies (tengah) mengasak pemain Turkmenistan Mammedov Ybrayym (kiri) pada aks persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam. - Foto BERNAMA

'Ia perlawanan sukar bagi kami'

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui barisan pemainnya berdepan corak permainan fizikal yang sukar ketika menang 1-0 ke atas Turkmenistan pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim di sini, semalam.

Katanya, skuad kendalian Mergen Orazov hadir dengan persiapan yang lebih rapi berbanding ketika aksi terakhir pada Jun lalu apabila apabila anak buahnya terutama di benteng terpaksa bekerja keras untuk menyerap tekanan mereka.

"Ia perlawanan sukar bagi kami. Pasukan cuba bermain dengan mengamalkan corak tekanan tinggi terhadap mereka dan ada ketika kita membuat kesilapan tapi pantas memperbetulkan keadaan. Malah kita juga kerap melakukan gerakan berbahaya ke atas benteng lawan.

"Banyak peluang untuk kita jaringkan gol. Sekurang-kurang tiga atau empat tapi kecekapan penjaga gol (Rasul Charyyev) menafikan beberapa peluang yang sepatutnya menerjah jaring dan itu yang menghalang kita menang dengan lebih selesa.

"Persoalannya, mampukah kita mengekalkan corak permainan tersusun seperti dipamerkan pada perlawanan itu tadi? Sebaliknya saya mahukan konsistensi permainan. Pemain perlu kekalkan kekuatan mental dan disiplin supaya dapat kurangkan kesilapan.

"Ada pemain yang mengalami kekejangan dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana saya mahukan corak permainan pantas dan sentiasa bola bergerak untuk kelancaran permainan. Apa yang berlaku seperti kekejangan dan tahap kecergasan tidak memuaskan, tidak boleh berlaku di kalangan pemain," katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim yang menjadi gelanggang laman sendiri Johor Darul Ta'zim (JDT), pemain sayap Harimau Selatan, Akhyar Abdul Rashid muncul wira skuad Pan Gon selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-28.

Ini adalah kemenangan kedua negara terhadap Turkmenistan selepas menundukkan skuad The Green, 3-1 dalam aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun tahun lalu.

Mengulas lanjuut, Pan Gon berkata ada di kalangan pemain skuadnya tidak mampu mengimbangi kepantasan permainan yang diterapkan.

Katanya, kekuatan fizikal dan tahap kecergasan amat penting namun beliau sedar saingan Liga Malaysia yang baru bermula dan pemain hanya beraksi beberapa perlawanan sekali gus kemungkinan tahap kecergasan pemain akan lebih mantap pada Jun hingga September.

"Harus diperbaiki dari aspek umpanan bola kerana kami inginkan lebih baik daripada apa yang pemain peragakan pada aksi ini. Perlu diingatkan, kita akan menentang pasukan yang lebih baik pada aksi pusingan akhir Piala Asia nanti," katanya.

Mengenai penampilan pertama Feroz Baharuddin, Endrick Dos Santos, Fayadh Zulkifli, Nooa Laine dan Paulo Josue, katanya, mereka tampak masih bergelut untuk menyerap corak taktikal yang pratikkan, namun dijangka meningkat dalam aksi seterusnya.

Berita Harian X