KUALA LUMPUR: Kelab Liga 1 Jepun (Liga J), Kashiwa Reysol dikatakan berminat untuk 'menyunting' pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga pemain kebangsaan, Arif Aiman Hanapi.
Perkembangan itu disahkan menerusi laporan portal bola sepak Jepun, Football Tribe yang melihat kejayaan JDT melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (ACL) musim lalu menyebabkan Arif Aiman menjadi tumpuan.
Portal terbabit menyifatkan pemain berusia 20 tahun itu sebagai pemain sayap kanan yang memiliki kepantasan dan menjadi Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk dua musim berturut-turut.
Arif Aiman turut meledak tiga gol dan mencatat 13 bantuan gol dalam 21 daripada 22 aksi liga musim lalu dan pernah berentap bersama dua lagi wakil Liga J, Kawasaki Frontale dan Urawa Red Diamonds.
Musim ini, Arif Aiman sudahpun meledak tiga gol dan melakukan dua bantuan gol dalam aksi Liga Super dan turut dipanggil dalam skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan berdepan Turkmenistan dan Hong Kong.
Namun, di sebalik minat ditunjukkan Kashiwa Reysol, impian pasukan itu tampak sukar memandangkan Arif Aiman ketika ini mahu meletakkan sepenuh fokus kepada skuad Harimau Selatan.
Malah, Arif juga menjadi tonggak utama buat JDT dan sudah pasti kelibatnya ditagih Esteban Solari dalam pasukan untuk mengharungi kancah domestik mahupun Asia.
"Saya fokus untuk bersama JDT dan saya mahu melakukan yang terbaik supaya pasukan dapat meraih keputusan yang baik dalam ACL pada musim ini," katanya.
Sebagai rekod, Kashiwa Reysol ketika ini menghuni tangga ke-17 daripada 18 pasukan selepas sekadar mengutip dua mata daripada lima perlawanan.