Khamis, 23 March 2023 | 11:50am
Kylian Mbappe ketika sesi latihan bersama Perancis. - AFP
Kylian Mbappe ketika sesi latihan bersama Perancis. - AFP

Mbappe ketuai era baharu Perancis

PARIS: Tiga bulan selepas kekalahan memeritkan pada final Piala Dunia di Doha, Perancis memulakan era baharu dengan beberapa pemain veteran bersara dan Kylian Mbappe diberikan lilitan kapten bagi kempen kelayakan Euro 2024.

Kekalahan menerusi penalti kepada Argentina di Qatar juga menggegarkan pasukan itu.

Di luar padang, beberapa siri skandal membawa kejatuhan Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis, Noel Le Graet namun dia sempat bersetuju menyambung kontrak jurulatih, Didier Deschamps hingga 2026.

Tidak semua orang di Perancis bersetuju dengan keputusan melanjutkan kontrak jurulatih yang bersama pasukan itu sejak 2012, terutama selepas Zinedine Zidane dilihat sebagai pengganti yang sesuai.

Di atas padang, nama terbesar yang mengumumkan persaraan ialah penjaga gol, Hugo Lloris, yang bersara daripada arena antarabangsa pada usia 36 tahun dan lebih sedekad bergelar kapten.

Penyerang Perancis, Kylian Mbappe (kiri) bersama pemain tengah, Aurelien Tchouameni ketika sesi latihan di Clairefontaine-en-Yvelines. - AFP
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe (kiri) bersama pemain tengah, Aurelien Tchouameni ketika sesi latihan di Clairefontaine-en-Yvelines. - AFP

Penjaga gol Tottenham itu menjadi pemain Perancis dengan kaps terbanyak pada Piala Dunia dan pemergiannya menyebabkan Deschamps memerlukan penjaga gol baharu selain kapten.

Ketika penjaga gol kedua, Steve Mandanda juga bersara, penjaga gawang AC Milan, Mike Maignan akan mengambil sarung tangan apabila Perancis menanti kedatangan Belanda di Stade de France awal pagi Sabtu ini pada aksi pembukaan.

Ada sedikit keraguan mengenai siapa bakal menjadi kapten dengan Antoine Griezmann sebagai pencabar.

Bagaimanapun adalah sukar untuk tidak memperdulikan Mbappe, yang menunjukkan dia boleh menjadi pemimpin hasil jaringan hatriknya pada Piala Dunia.

Pada usia 24 tahun, penyerang Paris Saint-Germain itu secara realistik boleh mengetuai pasukan itu untuk sedekad.

"Kylian memenuhi semua kriteria untuk tanggungjawab tambahan itu. Tapi sebaliknya ia tiada kena mengena dengan Antoine yang sentiasa menjadi pemain yang penting," kata Deschamps minggu ini.

Olivier Giroud, penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis, masih ada di sana pada usia 36 tahun.

Namun Raphael Varane sudah bersara selain bintang Real Madrid, Karim Benzema.

"Anda tidak boleh menggantikan orang yang sudah ada di sana selama 10 tahun, anda perlukan masa," kata Deschamps yang faham dengan keputusan pertahanan Manchester United, Varane untuk bersara pada usia 29 tahun. - AFP

Berita Harian X