JOHOR BAHRU: Gandingan 'samba' dua pemain naturalisasi, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos dijangka mampu memberi tenaga baru kepada skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Khamis ini.
Malah, Josue tidak menolak kelibatnya bersama Dos Santos bakal memberi impak di posisi tengah namun semuanya terserah kepada perancangan taktikal ketua jurulatih, Kim Pan Gon bagi merencana strategi teknikal permainan.
"Sudah tentu menjadi harapan saya untuk bergandingan bersama Endrick dan dia seorang pemain yang bagus malah dalam tempoh lima tahun kami berkongsi padang dalam Liga Malaysia (Liga M) tapi bukanlah satu pasukan.
"Malah, kami mudah untuk memahami gaya permainan antara satu sama lain dan dapat berkomunikasi dengan jelas memandangkan kami berasal dari Brazil.
"Jadi, tidak timbul untuk berkomunikasi malah saya suka cara permainan Endrick dan berharap gandingan kami berdua ini membantu pasukan dengan beraksi lebih baik," katanya.
Kapten Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu juga tampak teruja untuk menyarung jersi Harimau Malaya buat pertama kali selepas menjadi pemain naturalisasi negara, baru-baru ini.
"Tiada apa yang boleh membalas jasa jurulatih, Kim (Pan Gon) hanya beri yang terbaik seandainya terpilih dalam kesebelasan utama untuk berdepan Turkmenistan dan Hong Kong kerana kedua-dua aksi itu penting buat Harimau Malaya.
"Kini, saya dalam proses memahami dan menguasai sistem serta corak permainan yang diterapkan ketua jurulatih yang mahu pemain melakukan `high pressing' dan memanfaatkan pemain sayap yang lincah seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Akhyar Rashid," ujarnya.
Ditanya mengenai rekod pertemuan Malaysia menentang Turkmenistan yang menyaksikan skuad Harimau Malaya menang 3-1 pada kelayakan Piala Asia Jun lalu, pemain kelahiran Brazil itu berkata, rekod itu tidak memberi sebarang makna dan menjangkakan ia akan menjadi satu pertemuan yang sengit dan sukar tapi akan cuba untuk memenangi perlawanan itu.
"Tambahan pula, mereka sudah menukar jurulatih baharu, pastinya corak permainan mereka juga berubah. Apapun kita akan menunggu maklumat terkini daripada ketua jurulatih untuk berdepan mereka nanti.
"Oleh itu, Kita hanya perlu mempersiapkan diri dan memastikan berada pada tahap terbaik untuk diturunkan kelak," katanya.