JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon menuntut 27 pemain yang dipanggil menjalani kem latihan pusat bersikap kompetitif dan harus bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bagi mengharungi dua perlawanan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Justeru, beliau mahukan mereka menunjukkan kesungguhan ketika sesi latihan dan cuba menjadi fleksibel dalam posisi yang diberikan ketika latihan di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Padang Seri Gelam di sini.
"Setiap pemain yang hadir menjalani latihan harus bersikap kompetitif serta sentiasa memberi saingan dan mereka perlu ingat tidak semestinya mereka adalah yang terbaik, sebaliknya ini adalah peluang mereka menunjukkan potensi dan kemampuan masing-masing.
"Lapan pemain baharu yang dipanggil harus meningkatkan kualiti permainan ke tahap yang lebih tinggi dan saya berharap mereka dapat menyesuaikan diri secepat mungkin untuk saya mengenal pasti kemampuan sebenar mereka," katanya.
Ditanya mengenai tindakannya memanggil pemain yang kurang minit permainan tatkala aksi persahabatan yang bakal diharungi Harimau Malaya menentang Turkmenistan Khamis ini dan Hong Kong (28 Mac) berintensiti tinggi, pengendali kelahiran Korea Selatan itu mempertahankan keputusan yang dibuat.
Beliau memahami ada dalam kalangan penyokong Harimau Malaya mempertikaikan pemilihan beberapa pemain tapi apa jua keputusan berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh barisan kejurulatihan skuad kebangsaan selain berinteraksi dengan kelab-kelab yang bersaing di Liga Malaysia (Liga M).
"Mungkin peminat kurang senang dengan tindakan saya dengan pemilihan pemain tapi saya ada alasan tersendiri kerana kami membuat pemantauan terhadap pemain yang dipilih dan tahu keupayaan mereka malah mereka sudah buktikan berlatih bersama kami.
"Jadi, peminat kenalah faham betapa kami tidak mempunyai pilihan pemain yang besar dan keutamaan adalah kualiti. Apapun saya meminta maaf kepada peminat dan kami percaya mereka layak untuk berada di dalam pasukan ini," ulasnya.
Pan Gon juga gembira kerana aksi perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim yang sememang diidam olehnya sepanjang membimbing Harimau Malaya.
"Ketika bermain di atas permukaan 'cow grass' pun kami memang terapkan gaya permainan yang laju dan dinamik, mungkin padang di Stadium Sultan Ibrahim akan lagi membantu.
"Saya mahu menunjukkan gaya permainan teknikal yang tinggi serta pantas kepada penyokong yang hadir dan dijangkakan gaya permainan yang berintensiti tinggi dalam dua perlawanan persahabatan nanti.
"Sejujurnya Ini juga adalah persediaan yang baik untuk persiapan sebelum ke Piala Asia nanti kerana kita akan bermain di stadium yang bagus di Qatar dengan rumput yang bagus, dan kita tahu Stadium Sultan Ibrahim adalah salah satu stadium terbaik di Asia," katanya.