JOHOR BAHRU: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon menegaskan pemilihan dua pemain naturalisasi, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos untuk menguatkan posisi tengah menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim.
Pan Gon yang ditemui pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Padang Seri Gelam berkata, kedua-dua pemain itu amat diperlukan di posisi tengah yang merupakan `enjin' utama bagi melancarkan gerakan dan umpanan apabila beraksi pada perlawanan sebenar.
"Walaupun Paulo dan Endrick ada kualiti yang saya inginkan terutama untuk menghidupkan jentera tengah, tapi saya enggan beri mereka tekanan sebaliknya mahu mereka menjalani latihan seperti biasa dan dari situ saya mencorakkan taktikal permainan bagi membentuk rentak berintensiti tinggi,
"Mereka sudah membuktikan keupayaan apabila beraksi bersama kelab masing-masing yang menyaksikan kelibat mereka banyak membantu, malah akan beri impak positif pada skuad kebangsaan," katanya.
Selain Josue dan Dos Santos, turut tersenarai buat pertama kali menjalani latihan skuad Harimau Selatan adalah Feroz Baharudin, Fayadh Zulkifli Amin, Damien Lee, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine.
Ditanya mengenai keputusan memanggil Nooa Laine menjalani latihan, Pan Gon mempunyai alasan tersendiri dengan menyatakan pemain yang berpangkalan di kelab SJK Seinajoki, Liga Finland itu memiliki ciri pemain yang berkualiti apabila kerap memantaunya beraksi menerusi rakaman video
"Dia pemain muda tapi berpengalaman apabila beraksi di divisyen pertama di Finland malah saya lihat pemain itu berpotensi terutama bermain di posisi tengah bertahan dan kekuatan tersendiri apabila kerap beri tekanan terhadap pemain lawan dan kualiti itu yang saya inginkan," kata Pan Gon.
Harimau Malaya akan menentang Turkmenistan, Khamis ini sebelum melayan Hong Kong pada 28 Mac.