Sabtu, 18 March 2023 | 4:21pm
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) yang juga Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenan mendengar penerangan berkenaan rumput baharu yang akan digunakan di Stadium Nasional pada Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini.
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) yang juga Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenan mendengar penerangan berkenaan rumput baharu yang akan digunakan di Stadium Nasional pada Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini.

'Tak masuk akal tolak tawaran ganti rumput secara percuma'

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui tidak faham dengan sikap sesetengah pemilik kelab bola sepak di negara ini yang masih tidak mementingkan kualiti padang di stadium.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menegaskan tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu kelab bola sepak menukar rumput di stadium masing-masing adalah langkah terbaik dan beliau menyifatkan tidak masuk akal sekiranya ada kelab yang menolak tawaran itu.

Beliau berkata, kos penyelenggaraan padang baharu sepatutnya tidak menjadi kekangan untuk kelab terbabit kerana ia tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan perbelanjaan kelab terhadap perkara lain.

"Saya pun tidak faham dan tertanya-tanya (jika ada kelab menolak tawaran KBS). Tetapi sekarang masanya untuk berubah dan saya harap tawaran KBS ini secara tidak langsung akan beri peningkatan kepada pasukan dan ia juga akan beri kesan kepada pasukan kebangsaan.

"Mungkin (pengurusan) tidak tahu apa-apa tentang bola atau tidak ada minat. Negara maju akan beri keutamaan kepada padang dulu kerana padang adalah cermin kepada pengurusan.

"(Kos) selenggara bukan alasan kerana bajet (pasukan) paling kurang RM8 juta manakala kos selenggara tidak lebih RM300,000 setahun.

"Mana logik jika tidak boleh jaga padang sedangkan ada juga pasukan yang dapat bajet lebih RM20 juta daripada kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kerja-kerja penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional dijadual akan bermula awal bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menawarkan kepada semua 14 pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk menampung kos penukaran rumput daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.

Namun sebelum ia dilaksanakan, KBS sedang menunggu maklum balas setiap pasukan dan untuk melaksana inisiatif itu, di mana ia akan dapat membantu meningkatkan kualiti padang sekali gus mutu permainan setiap pasukan turut meningkat.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail menegaskan tindakan segera perlu dilakukan kelab untuk meningkatkan kualiti padang di stadium bagi mengelak Malaysia terus ketinggalan dengan negara lain terutama di Asia Tenggara.

"Apabila ada padang yang bagus, sudah tentu prestasi pasukan juga akan melonjak kerana ia akan beri kemudahan kepada pemain untuk menyerlahkan potensi mereka. Kita perlu lihat daripada sudut positif dan ia akan beri impak kepada pasukan kebangsaan.

"Pasukan kebangsaan perlu jadi keutamaan kerana kita ada harapan untuk pergi lebih jauh. Kalau tidak buat sekarang, kita akan berada di belakang kerana Indonesia, Kemboja, Vietnam dan Thailand sudah buat," katanya.

Berita Harian X