Isnin, 13 March 2023 | 8:54am
Raphinha (kanan) menjaringkan gol ketika kemenangan 1-0 Barcelona ke atas Athletic Bilbao dalam saingan La Liga di Bilbao. - Foto EPA
Raphinha (kanan) menjaringkan gol ketika kemenangan 1-0 Barcelona ke atas Athletic Bilbao dalam saingan La Liga di Bilbao. - Foto EPA

Raphinha bantu Barcelona atasi Athletic

BARCELONA: Raphinha meledak gol tunggal dalam kemenangan 1-0 Barcelona ke atas Athletic Bilbao untuk kembali mengatasi Real Madrid dengan kelebihan sembilan mata di puncak La Liga.

Dalam aksi pertama Barcelona selepas didakwa merasuah pengadil oleh pendakwa raya Sepanyol, kelab Catalan itu seperti tidak menghiraukan masalah di luar padang dan memberi tumpuan kepada usaha untuk memburu gelaran pertama sejak tahun 2019.

Barcelona memastikan perlawanan tanpa bolos ke-19 dalam 25 perlawanan La Liga apabila bertahan untuk kemenangan 1-0 kesembilan musim ini, manakala kedudukan kedua kekal buat Real selepas penyandang juara itu menewaskan Espanyol pada Sabtu.

Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen beraksi cemerlang di babak kedua yang turut menyaksikan percubaan pemain Athletic, Alex Berenguer terkena tiang.

Pemain Athletic Bilbao, Inaki William meraikan jaringan ke atas Barcelona dalam aksi La Liga namun kemudian dibatalkan pengadil. - Foto AFP
Pemain Athletic Bilbao, Inaki William meraikan jaringan ke atas Barcelona dalam aksi La Liga namun kemudian dibatalkan pengadil. - Foto AFP

Inaki Williams berjaya membolosi gawang Barca pada lewat permainan, namun gol itu dibatalkan selepas VAR mengesan bola terkena tangan Iker Muniain terlebih dahulu.

"Akhirnya apa yang penting kami bertahan bersama-sama, termasuk di gawang, di atas garisan gol, ini adalah perlawanan yang perlu kami menangi.

"Saya tidak melihat gol yang dibatalkan, tetapi itulah sebabnya kita mempunyai VAR. Ia adalah keputusan yang perlu dilakukan pengadil. Kami sangat gembira untuk mengekalkan satu lagi rekod tanpa bolos," kata Ter Stegen.

Penyokong Athletic Bilbao menunjukkan wang palsu dengan logo Barcelona sebagai sindiran terhadap kelab Catalan itu yang berdepan kes merasuah pengadil. - Foto EPA
Penyokong Athletic Bilbao menunjukkan wang palsu dengan logo Barcelona sebagai sindiran terhadap kelab Catalan itu yang berdepan kes merasuah pengadil. - Foto EPA

Sementara itu Real Sociedad seri 1-1 menentang Real Mallorca, sekali gus merencatkan usaha mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas.

Pasukan bergelut, Sevilla meraih kemenangan 2-1 ke atas Almeria untuk melonjak ke tangga ke-13, dua mata dari zon penyingkiran, manakala lawan mereka di kedudukan ke-19. - AFP

Berita Harian X