LONDON: Jurgen Klopp berkata, punca Mohamed Salah gagal menyempurnakan sepakan penalti di Bournemouth adalah kerana Liverpool kendaliannya tidak diberikan sepakan itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
The Reds tewas 1-0 malam tadi, tidak sampai seminggu selepas mereka membelasah Manchester United 7-0 di Anfield.
Virgil van Dijk menjadi punca pasukan tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi Philip Billings dan Liverpool bergelut dalam mencari gol penyamaan.
Mereka akhirnya mendapat peluang pada minit ke-68 apabila Adam Smith menghalang percubaan Diogo Jota dengan tangannya, dan VAR mengesahkan sepakan penalti untuk Liverpool.
Salah tampil mengambil sepakan tetapi percubaannya tersasar ke tempat duduk penonton di Stadium Vitality dan The Cherries terus bertahan untuk memastikan tiga mata.
Ia adalah sepakan penalti pertama Liverpool dalam saingan liga musim ni, selepas kali terakhir menerimanya pada April 2022.
"Kali terakhir kami mendapat penalti, saya tidak ingat bila, sekurang-kurangnya dalam liga, ia sudah terlalu lama.
"Sekiranya penalti itu disempurnakan, mungkin permainan akan berpihak kepada kami tetapi ia tidak menjadikan persembahan kami lebih baik, cuma sekurang-kurangnya akan mengubah keputusan.
"Dia menjaringkan banyak gol tetapi gagal menyempurnakan sepakan penalti, itu lumrah dalam kehidupan," kata Klopp.
Joe Cole juga terkejut dengan sepakan penalti Salah selepas melihat pemain Mesir itu membelasah United Ahad lalu.
"Ia bukan perkara biasa buatnya terutama selepas apa yang dia lakukan minggu lalu, dia kelihatan begitu yakin.
"Jarang pemain dengan kualiti sebegitu gagal menyempurnakan sepakan penalti. Liverpool mungkin ada masalah mentaliti apabila berdepan kelab kecil," kata Cole.
Liverpool terlepas peluang untuk melonjak ke kelompok empat teratas dengan Tottenham masih lagi berada tiga mata di depan. - AGENSI