Sabtu, 11 March 2023 | 10:16am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) terkejut dengan keputusan penyerangnya, Roberto Firmino (kanan) yang mahu meninggalkan kelab akhir musim ini. - Foto AGENSI
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) terkejut dengan keputusan penyerangnya, Roberto Firmino (kanan) yang mahu meninggalkan kelab akhir musim ini. - Foto AGENSI

Klopp terkejut keputusan Firmino

LIVERPOOL: Jurgen Klopp mendedahkan dia terkejut dengan keputusan Roberto Firmino yang mahu meninggalkan Liverpool selepas tamat musim ini.

Firmino, yang menjulang trofi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga sepanjang lapan tahun di Anfield, memutuskan untuk menamatkan kariernya bersama Liverpool bagi mencari cabaran baharu di tempat lain.

Selepas mengesahkan rancangannya untuk meninggalkan kelab, pemain dari Brazil itu menghadiakan peminat The Reds gol ketujuh dalam pesta gol ke atas Manchester United pada hujung minggu lalu, di mana anak buah Klopp membelasah juara Piala Liga itu 7-0 di Anfield.

Firmino, yang sudah banyak menyumbang kejayaan kepada kelab, mendapat sambutan hangat penyokong ketika meraikan jaringan - membuktikan kehadirannya di Liverpool cukup dihargai peminat walaupun sering tercicir daripada kesebelasan utama.

Klopp mengakui Firmino ada berjumpanya untuk menyampaikan berita itu dan dia amat terkejut dengan keputusan pemain berkenaan.

"Memang saya agak terkejut. Ada dua pilihan buatnya dan dia memilih jalan ini. Saya menghormatinya dan ia adalah normal dalam hubungan panjang seperti ini dan antara Bobby dengan kelab serta pemain-pemain," kata Klopp.

Firmino melakukan lebih 350 penampilan sepanjang menyarung jersi Liverpool sejak tiba dari Hoffenheim pada tahun 2015. Sepanjang tempoh itu dia meledak 108 gol dan melakukan 79 umpanan gol.

Kemuncaknya ialah apabila dia membentuk trio serangan berbisa bersama Sadio Mane dan Mohamed Salah yang dianggap antara barisan serangan terbaik dunia.

Peranannya membantu Mane dan Salah dalam melakukan serangan dinamakan sebahagian pengulas bola sepak sebagai "Peranan Firmino", sesuatu yang tidak ramai mampu lakukan di peringkat tertinggi.

Bagaimanapun Liverpool tidak ketandusan penyerang sekiranya Firmino meninggalkan kelab pada musim panas nanti.

Pembelian baharu, Darwin Nunez dan Cody Gakpo menyertai Salah, Luis Diaz dan Diogo Jota bagi membarisi jentera serangan Klopp.

Skuad kendalian Klopp akan bertandang ke Bournemouth malam ini dan berpeluang merampas seketika tangga keempat liga daripada Tottenham yang akan menentang Nottingham Forest selepas itu. - AGENSI

Berita Harian X