MANCHESTER: Manchester United bangkit daripada kekalahan memalukan di tangan Liverpool dengan menewaskan Real Betis 4-1 dalam perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Europa.
United menyamai rekod kekalahan terbesar dan terburuk mereka sejak tahun 1931 apabila tewas 7-0 di Anfield pada Ahad lalu.
Erik ten Hag menurunkan kesebelasan utama yang sama pada aksi Eropah di Old Trafford itu dan ternyata percaturannya membuahkan hasil.
"Anda lihat bagaimana reaksi pasukan selepas kekalahan. Ini bukan kali pertama musim ini, saya rasa sudah lima atau enam kali kami membuat kebangkitan.
"Pasukan ini mempunyai karakter, jadi satu pujian buat mereka," kata Ten Hag.
Marcus Rashford membuka jaringan untuk gol ke-26nya musim ini, tetapi Betis menyamakan kedudukan menerusi Ayoze Perez.
Dua bintang United yang mendapat kritikan paling teruk sejak beberapa hari lalu, tampil cemerlang selepas rehat.
Antony melencongkan bola untuk kembali meletakkan United di depan sebelum Bruno Fernandes, yang Ten Hag letakkan sebagai kapten sekali lagi, menanduk masuk sepakan sudut Luke Shaw.
"Bruno amat cemerlang hari ini. Dia menerajui pasukan dari minit pertama, menetapkan corak permainan dan menjaringkan gol, jadi saya amat gembira," kata pengendali dari Belanda itu.
Wout Weghorst kemudian menjaringkan gol keduanya selepas 15 penampilan untuk United ketika permainan berbaki enam minit. - AFP