Rabu, 8 March 2023 | 12:23pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dua, kiri) berlatih bersama pemain pada sesi latihan terakhir skuad bola sepak wanita B-20 negara di Padang Wisama FAM, Kelana Jaya, semalam - Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dua, kiri) berlatih bersama pemain pada sesi latihan terakhir skuad bola sepak wanita B-20 negara di Padang Wisama FAM, Kelana Jaya, semalam - Foto BERNAMA

KBS tawar peruntukan naik taraf rumput padang bola sepak

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua EXCO belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang yang terpilih.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata tawaran itu dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama EXCO setiap negeri yang diadakan Januari lalu dan kini pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri yang dijangka disampaikan dalam mesyuarat kedua akan datang.

Katanya, setiap negeri perlu memilih satu stadium bagi projek menaik taraf padang itu dan menjalankan penyelenggaraan awal sebelum pihaknya meluluskan peruntukan tersebut.

"Mereka perlu selenggara padang yang dipilih itu dulu untuk pastikan saliran air semua okay, selepas itu dibaiki, baru KBS beri peruntukan tanam rumput," katanya selepas melawat sesi latihan terakhir skuad Malayan Tigress di Padang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Yeoh berkata penyelenggaraan tahunan padang berkenaan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing sekiranya mereka memilih untuk menerima tawaran itu.

"Bukan semua negeri nak rumput ini dan bukan semua negeri mampu untuk selenggara, sebab itu kita tunggu maklum balas," katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata KBS akan terus menyokong pembangunan akar umbi bola sepak wanita dari segi infrastruktur dan peruntukan untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Yang paling penting, mereka mesti diberi peluang untuk menonjolkan prestasi dan kemahiran masing-masing supaya bola sepak dan pasukan wanita sinonim, tidak rasa ganjil, stereotaip itu yang perlu dibuang.

"Sempena Hari Wanita esok, simbolik saya datang (hari ini) untuk memaklumkan kepada semua wanita di Malaysia (bahawa) wanita dalam sukan mesti diberi peluang semuanya untuk mereka mencari bakat dan berjaya," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X