Isnin, 6 March 2023 | 12:14pm
Pengendali Chelsea, Graham Potter (tengah) ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Leeds United di Stamford Bridge. - Foto REUTERS
Pengendali Chelsea, Graham Potter (tengah) ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Leeds United di Stamford Bridge. - Foto REUTERS

Potter lebih yakin guna tiga pertahanan

LONDON: Graham Potter memberi bayangan yang dia akan kekal menggunakan tiga pertahanan untuk aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Borussia Dortmund pada awal pagi Rabu.

Selain barisan pertahanan, Potter juga mengharapkan penyerangnya, Kai Havertz akan tampil lebih tajam bagi memastikan Chelsea dapat mengatasi defisit satu gol pada aksi timbal balik nanti.

Penyerang dari Jerman itu sekali lagi bermain penuh tanpa sebarang gol atau umpanan gol ketika kemenangan 1-0 ke atas Leeds United pada Sabtu.

Jaringan tunggal Wesley Fofana pada minit ke-53 memberikan Chelsea kemenangan kelima dalam 12 perlawanan terakhir, sekali gus membolehkan Potter meredakan tekanan ke atasnya sebagai pengendali.

Joao Felix dan Ben Chilwell turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, tetapi gagal disempurnakan. Havertz sendiri menyaksikan percubaannya dinafikan penjaga gol Illan Meslier.

Reece James yang direhatkan akibat kecederaan hamstring dijangka kembali pulih untuk berdepan Dortmund.

Potter mengakui formasi tiga pertahanan memberikan lebih keyakinan berbanding empat yang diterapkan sepanjang beberapa minggu lalu.

"Saya rasa ia akan membantu. Mungkin ia tidak semudah itu kerana ada pemain yang terpaksa turun lebih kerap untuk membantu pertahahan, tetapi kami lebih baik di bahagian serangan, terutama di babak pertama," kata Potter.

Potter menggunakan Ruben Loftus-Cheek di bahagian kanan sebagai wing-back dan berperanan menggantikan James ketika menentang skuad kendalian Javi Gracia.

Taktikal ini pernah digunakan Thomas Tuchel lebih setahun lalu dan ia membuahkan hasil. Formasi lama ini juga memberikan Chilwell lebih kebebasan di bahagian serangan, dengan James turut menampilkan prestasi terbaik.

Gandingan pemain England itu terbabit dalam banyak gol sepanjang 18 bulan lalu walaupun mereka lebih cenderung bertahan dan sering dibelenggu kecederaan.

Kehadiran wing-back akan meringankan beban Havertz di barisan hadapan, yang masih belum cukup membuktikan ketajamannya sepanjang dua setengah tahun di Liga Perdana Inggeris.

Chelsea perlu menang dengan sekurang-kurangnya dua gol dijaringkan jika mahu mengelak penentuan penalti di laman kelab Bundesliga itu selepas tewas 1-0 di Stamford Bridge.

Barisan kemungkinan Chelsea:

Kepa; Chalobah, Koulibaly, Fofana; James, Kovacic, Fernandez, Chilwell; Sterling, Havertz, Felix

Barisan kemungkinan Borussia Dortmund:

Meyer; Wolf, Sule, Schlotterbeck, Guerreiro ; Ozcan, Can, Bellingham; Brandt, Haller, Reus

Berita Harian X