LONDON: Roberto Firmino akan menamatkan karier di Liverpool musim panas ini selepas memberitahu kelab bahawa dia tidak mahu menandatangani perjanjian baharu.
Pemain antarabangsa Brazil menjadi pemain utama dalam era Jurgen Klopp dan ketika dia menjadi watak kurang digunakan ketika ini kerana kecederaan, ia masih sesuatu yang penting.
Ia juga satu petanda perubahan sedang dilakukan di Anfield.
Klopp berkata pada awal Januari bahawa dia mahu Firmino kekal bersama Liverpool dengan kepercayaan terhadap pemain nombor sembilan itu tidak pernah berubah.
Pengurus itu menyatakan dengan jelas dia mahu pemain berusia 31 tahun itu menandatangani sambungan kontrak.
Namun Firmino menyedari bahawa harinya sudah tiba dengan dia bukan lagi pilihan utama.
Liverpool sudah menggantikan bahagian serangan mereka sejak 12 bulan lalu apabila berbelanja besar mendapatkan Luis Diaz, Darwin Nunez, Cody Gakpo dan Fabio Carvalho selain memperbaiki syarat buat Diogo Jota.
Firmino melalui musim yang bagus sebelum Piala Dunia, menjaringkan sembilan gol hingga Klopp hairan kenapa dia tidak dipanggil untuk skuad negaranya pada Piala Dunia di Qatar.
Sejak itu dia hanya bermain 87 minit di padang selain lima kali muncul dari bangku simpanan.
Dia mengalami isu berulang di bahagian betis hingga menyebabkan Klopp membentuk gandingan baharu serangan bersama Gakpo, Nunez atau Jota serta Mohamed Salah. - AGENSI