Isnin, 27 Februari 2023 | 8:56am
Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski (tengah) diasak pertahanan Almeria ketika aksi La Liga di Stadium Power Horse, Almeria. - Foto AFP
Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski (tengah) diasak pertahanan Almeria ketika aksi La Liga di Stadium Power Horse, Almeria. - Foto AFP
Pemain Almeria, El Bilal Toure meraikan jaringan tunggal ketika aksi La Liga menentang Barcelona di Stadium Power Horse, Almeria. - Foto REUTERS
Pemain Almeria, El Bilal Toure meraikan jaringan tunggal ketika aksi La Liga menentang Barcelona di Stadium Power Horse, Almeria. - Foto REUTERS
Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez menganggap kekalahan di Almeria adalah persembahan terburuk skuadnya musim ini. - Foto REUTERS
Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez menganggap kekalahan di Almeria adalah persembahan terburuk skuadnya musim ini. - Foto REUTERS

Barcelona tersungkur di Almeria

ALMERIA, Sepanyol: Pendahulu La Liga, Barcelona dikejutkan dengan kekalahan 1-0 di Almeria, gagal memanfaatkan peluang melebarkan jurang ke atas pesaing terdekat, Real Madrid yang diikat Atletico.

Jaringan El Bilal Toure di babak pertama memberikan Almeria kemenangan pertama ke atas Barca, dan kekalahan kedua skuad Catalan itu dalam saingan liga musim ini.

Skuad kendalian Xavi Hernandez masih mendahului tujuh mata di depan juara bertahan, Madrid, tetapi ia tamparan hebat buat gergasi Sepanyol itu selepas tersingkir daripada Liga Europa di tangan Manchester United minggu lalu.

Barca akan berdepan Madrid di separuh akhir Piala Raja Sepanyol di Santiago Bernabeu pada Khamis ini.

Kemenangan ke atas Almeria akan mengukuhkan kedudukan Barca di puncak liga, dalam usaha mereka memburu gelaran La Liga pertama sejak tahun 2019, namun mereka gagal memanfaatkan keputusan seri 1-1 Madrid.

Los Blancos kendalian Carlo Ancelotti menewaskan Barcelona dalam saingan liga pada Oktober lalu untuk kekalahan pertama mereka dan Almeria menamatkan deretan 13 perlawanan tanpa kalah mereka.

"Saya sangat marah kerana saya rasa kami bermain permainan paling buruk musim ini. Di babak pertama, kami gagal menguasai bola, kurang intensiti, kelajuan, pada hari kami sepatutnya tidak boleh melakukan kesilapan.

"Kami tidak menunjukkan kemahuan untuk menang. Di babak kedua ada peningkatan, tetapi mereka bertahan dengan baik," kata Xavi.

Dalam aksi di Stadium Power Horse, tuan rumah yang memulakan permainan di tangga ke-19 liga selepas merakam hanya satu kemenangan dalam lapan perlawanan liga sebelum itu, menguasai babak pertama dan mendahulu permainan menerusi Toure.

Pemain Mali itu menghantar bola kepada Luis Suarez, yang kemudian membuat umpanan kepadanya untuk jaringan tunggal permainan.

Ia adalah gol liga kelapan yang membolosi gawang Barca musim ini, dengan Marc-Andre ter Stegen gagal menambah catatan tanpa bolos yang kini sudah mencecah 17 perlawanan.

Almeria kini melonjak ke tangga ke-15, dua mata di atas zon penyingkiran dengan pengendalinya, Rubi merakam kemenangan pertama ke atas Barcelona. - AFP

Berita Harian X