Sabtu, 25 Februari 2023 | 4:35pm
Casagrande (dua dari kanan) ketika sesi latihan pasukan NSFC di Arena IRC, Sendayan. NSTP/AZRUL EDHAM
Casagrande (dua dari kanan) ketika sesi latihan pasukan NSFC di Arena IRC, Sendayan. NSTP/AZRUL EDHAM

Casagrande, Da Silva pertaruhan Jang

SEREMBAN: Gandingan dua pemain import dari Brazil, Casagrande dengan Vinicius Da Silva hampir pasti menjadi taruhan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam misi mencipta kemenangan pertama Liga Super musim ini.

Skuad Hobin Jang Hobin bakal menanti kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok, dengan perlawanan bakal menjanjikan saingan sengit berikutan kedua-dua pasukan mahukan kemenangan sebagai pembakar semangat.

Ketua jurulatih, K Devan, tidak menolak kemungkinan mempertaruhkan kedua-dua pemain import terbabit bagi mengemudi jentera serangan pasukan.

"Sememangnya kedua-dua pemain ini berada dalam percaturan kita dan apa yang diharapkan mereka dapat merobek gawang lawan bagi mendapatkan gol.

"Casagrande seorang pemain yang sudah biasa dengan liga kita dan saya mengenali prestasi dia sewaktu dia bersama Penang FC sebelum ini. Dia sememangnya seorang pemain yang bagus dan boleh menjaringkan gol.

"Dengan bantuan dan sokongan Vinicius Da Silva, saya mengharapkan Casagrande dapat mengekalkan prestasi terbaik sepanjang dia bersama Negeri Sembilan dan seterusnya membantu pasukan mendapatkan keputusan yang baik dalam setiap perlawanan," katanya di sini, hari ini.

Untuk rekod, Casagrande mencetak 31 gol sepanjang tiga musim bersama Penang FC sejak 2019.

Casagrande, 32, dan Vinicius Da Silva, 26, antara lima pemain import yang diikat NSFC musim ini termasuk Levy Clemen Madinda, 30, dari Gabon yang dipinjamkan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, selain pemain musim lalu, Mark Herold Goulon, 34, yang dikekalkan serta Mohammad Safuwan Baharuddin, 32, dari Singapura.

Berita Harian X