LIVERPOOL, England: Liverpool mengalami kekalahan memalukan di tangan Real Madrid awal pagi tadi sekalipun penyerang Mohamed Salah memberikan segala-galanya ketika pengurus Juergen Klopp perlu lebih berkeras dan bertegas dengan barisan pemainnya.
Di kebanyakan kelab, Klopp mungkin sudah boleh berada dalam penerbangan pulang ke negara kelahirannya Jerman, tetapi pemilik The Reds, Fenway Sports Group (FSG) masih memerlukan khidmat terbaiknya mengemudi kelab itu yang kini di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Salah tidak lagi membuat hantaran yang tular di media sosial dengan misi membalas dendamnya. Bintang Mesir itu bagaimanapun berusaha untuk menebus kesengsaraan yang dicetuskan Real Madrid pada final Liga Juara-Juara musim lalu namun jelas usaha kerasnya secara berseorangan tidak mencukupi.
Hakikatnya, Liverpool bagaikan boleh menebus kekecewaan di Paris pada Mei tahun lalu tetapi mereka hanya berjaya melakukannya dalam tempoh 15 minit pertama dengan penguasaan mengagumkan ketika Salah menjadi duri dalam daging buat benteng pertahanan Real.
Hantaran bijaknya menyaksikan Darwin Nunez membuka tirai jaringan dengan satu sentuhan menarik seawal minit keempat dan Salah sendiri menggunakan kesempatan susulan kesilapan penjaga gol Real, Thibaut Courtois untuk mencetak gol kedua pada minit ke-14.
Gol itu menyaksikan Salah melakar sejarah apabila menjadi penjaring gol terbanyak Liverpool dalam pertandingan Eropah. Jika dia belum memahatkan namanya sebagai ikon dan seorang daripada pemain terbaik dalam sejarah kelab itu, dia pasti kali ini.
Bukan setakat gol dan assist Salah yang menjadikan persembahannya menentang Real Madrid sebagai antara yang terbaik. Ia adalah persembahan keseluruhannya. Dia melengkapkan paling banyak gelecekan (empat) dan mencipta paling banyak peluang (tiga) berbanding pemain lain. Ia juga di sebalik Real Madrid menjaringkan lima gol awal pagi tadi.
Realiti yang amat sukar diterima Salah dikecewakan oleh kesilapan rakan sepasukannya sendiri. Dia bertindak hebat buat Liverpool tetapi dia tidak mampu melakukannya sendirian.
Pasukan Klopp jelas banyak merosot dalam tempoh semusim dan ketika Salah berada dalam kelompok sama, perlawanan awal pagi tadi menunjukkan dia tidak boleh diletakkan dalam kategori sama. Salah masih merupakan antara pemain terbaik di dunia dengan 19 gol dan sembilan assist musim ini dalam 34 perlawanan menjadi bukti kehebatannya.
Namun dalam usaha memastikan dia bermain pada tahap terbaik, Klopp perlu membentuk pasukan di sekitarnya. Real Madrid sudah mendedahkan pada final Liga Juara-Juara musim lalu bagaimana pasukan Liverpool ini perlu mendapat sentuhan segar. Kali ini, pasukan kendalian Carlo Ancelotti bukan hanya mendedahkan mereka perlukan pemain baharu, sebaliknya rombakan besar-besaran perlu dilakukan di Anfield.
Klopp berdepan tugas getir bukan hanya berdepan aksi kedua yang memerlukan keajaiban tetapi mengenai masa depan jangka panjang kelab itu. Beliau pernah membentuk pasukan daripada kosong sebelum ini, tetapi beliau tidak pernah membentuk pasukan miliknya sendiri.
Namun itulah yang perlu dilakukannya sekarang. Salah menunjukkan menentang Real Madrid dalam tempoh beberapa ketika pasukannya mampu bertindak lebih baik dan kini masanya Liverpool kembali memberikannya kuasa untuk membuktikan semua kualiti dimilikinya sekali lagi.
Jendela perpindahan musim panas akan datang nyata genting. Dengan kontrak Salah akan berakhir pada 2025, bukan sahaja nasib Liverpool tidak menentu tetapi juga masa depan pemain Mesir itu.
Satu lagi musim yang buruk dan dia mungkin tidak berminat untuk kekal di kelab itu dan perpindahannya adalah sesuatu yang mahu dielakkan Liverpool.
Jelas kekalahan 5-2 di tangan Real awal pagi tadi satu pengajaran paling berguna buat Liverpool, Klopp dan pemainnya jika mereka tidak mahu berjalan berseorangan sejajar dengan slogan mereka 'You'll Never Walk Alone.'