LIVERPOOL: Jamie Carragher melabelkan benteng Liverpool sebagai memalukan ketika tewas 5-2 di tangan Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Anfield.
Gawang The Reds mudah dirobek juara Eropah itu walaupun mereka mendahului 2-0 menerusi Darwin Nunez dan Mohamed Salah hanya selepas 14 minit aksi pertama pusingan 16 terakhir itu.
Namun selepas dua gol jaringan Vinicius Junior dan satu lagi kesilapan penjaga gol, Alisson menjadikan kedudukan kembali seimbang sebelum rehat, Madrid mengamuk di babak kedua dengan Eder Militao meletakkan pelawat di depan dan Karim Benzema menambah dua gol lagi untuk mengukuhkan kemaraan ke suku akhir.
Carragher terkejut dengan kerapuhan benteng bekas pasukannya dan menganggap persembahan anak buah Jurgen Klopp sesuatu yang memalukan.
"Saya perlu katakan yang Real Madrid bermain dengan baik, datang ke Anfield dan melakukan kebangkitan sebegitu.
"Saya tidak pernah melihat lawan datang ke Anfield dalam aksi Eropah, seingat saya dan sepanjang saya beraksi, bermain begitu dan memusnahkan Liverpool begitu saja.
"Memalukan. Kami mencipta pelbagai alasan untuk mereka sepanjang musim, mengapa mereka gagal beraksi sehebat musim lalu, tetapi ia babak kedua yang memalukan.
"Apa yang membuatkan saya ketawa ialah Virgil van Dijk berkata saya tidak mampu membarisi benteng pasukan dua bulan lalu. Saya rasa saya sanggup mengambil tempatnya sekarang," kata bekas bek tengah Liverpool itu.
Liverpool kini perlu meledak empat gol di Santiago Bernabeu bulan depan untuk mara ke suku akhir. - AGENSI