Mohd Amin Jalil
SEREMBAN: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan mengakui sudah mempunyai bayangan senarai kesebelasan utama pasukan itu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang bakal membuka tirainya, Jumaat ini.
Pengendali berpengalaman kelahiran Bahau itu berkata, meskipun tiga daripada empat pemain import yang disahkan menganggotai skuad Hobin Jang Hobin belum tiba, pemain tempatan sudah bersedia untuk menggalas cabaran pasukan.
"Sebelum ini barisan kesebelasan utama saya tanpa pemain import, tapi sekarang saya akan mempunyai empat pemain import, namun saya perlu lihat dulu tahap kecergasan mereka sebelum disenaraikan.
"Status kecergasan pemain import akan diambil kira sama ada mereka akan diturunkan atau sebaliknya pada perlawanan pertama liga.
"Buat masa ini, memang saya sudah ada gambaran tentang barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada aksi pertama dan mungkin tanpa kesemua pemain import," kata Devan.
Negeri Sembilan mengikat empat pemain import musim ini membabitkan pemain musim lalu yang dikekalkan, Herold Mark Goulon, dari Peranchis selain pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'azim (JDT) berasal, Levy Madinda dari Gabon.
Dua lagi pemain berasal dari Brazil - Anselmo Arruda da Silva atau dikenali sebagai Casagrande, yang juga bekas penyerang Penang FC serta Vinicius Leonel Da Silva, yang julung kali bakal beraksi dalam Liga M.
Menurut Devan, perubahan besar dalam saingan Liga M musim ini dengan maksimum sembilan pemain import dibenarkan serta membabitkan 14 pasukan berbanding 12 pada musim lalu, bakal menjanjikan cabaran yang sengit.
"Bagi saya musim ini tidak sama dengan apa yang kita lalui pada musim lalu. Pasukan elit seperti JDT, Sabah FC, Selangor FC, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC, sudah tentu memiliki kelebihan.
"Memang daripada segi itu (jumlah pemain import) kita ada kekurangan berbanding dengan pasukan lain, namun kita harus hadapinya dengan semangat dan kekuatan baharu.
"Ia sudah tentu menuntut komitmen tinggi dari setiap pemain dalam pasukan ini, jika kita berhasrat untuk mempertahankan reputasi dan mengulangi pencapaian yang diraih musim lalu," katanya.
Negeri Sembilan membawa masuk 13 pemain baharu bagi melengkapkan senarai 34 pemain musim ini dengan sebahagian daripada mereka memiliki reputasi baik di pentas di Liga M.
Pemain berkenaan antaranya Mahali Jasuli yang juga bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Selangor FC), Mohamad Hasbullah Abu Bakar (Melaka United FC), Muhamad Farid Nezal (Perak FC) dan Tommy Mawat Bada (Sabah FC).
Skuad berkenaan bakal memulakan cabaran dalam Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 26 Februari ini.