LONDON: Jurgen Klopp mahu Liverpool meneruskan kebangkitan mereka musim ini dengan membalas dendam ke atas Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Skuad kendalian Klopp akhirnya menunjukkan peningkatan pada kempen yang hampir musnah sepenuhnya.
Liverpool merakam dua kemenangan berturut-turut - ke atas Everton dan Newcastle untuk kembali menghidupkan peluang buat mereka memburu tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Kemenangan 2-0 ke atas Newcastle Sabtu lalu meletakkan mereka hanya enam mata di belakang lawannya itu yang kini berada di tangga keempat liga, dengan Liverpool bermain kurang satu perlawanan.
Liverpool akan melayan kunjungan Real di Anfield esok (awal pagi Rabu) untuk aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.
Ia akan menjadi penentu kepada keupayaan Klopp membawa Liverpool untuk gelaran kedua Liga Juara-Juara di bawah kendaliannya.
Liverpool, juara enam kali kejohanan elit Eropah itu, sepatutnya meraih lebih banyak kejayaan Liga Juara-Juara di bawah bimbingan Klopp, tetapi Real menjadi penghalang utama.
Kelab gergasi Sepanyol itu menewaskan Liverpool pada final 2018, menyingkirkan mereka di suku akhir pada tahun 2021 dan memenangi gelaran musim lalu dengan kemenangan 1-0 pada aksi final di Paris hasil jaringan Vinicius Junior.
Liverpool gagal menewaskan Real sejak kemenangan pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara 2009.
Kekalahan tahun lalu mengakhiri kegagalan mereka dalam pemburuan empat kejuaraan, misi yang hanya memberikan kejayaan dalam saingan Piala FA dan Piala Liga.
Dengan final Liga Juara-Juara tahun ini akan diadakan di Istanbul, Turki, ia pastinya mengimbau kenangan manis buat Liverpool di mana mereka menewaskan AC Milan untuk kejuaraan edisi 2005.
Kepulangan ke Stadium Ataturk pastinya dinantikan The Reds, namun mereka terlebih dahulu perlu mengatasi anak buah Carlo Ancelotti. - AFP