Isnin, 20 Februari 2023 | 9:00am
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam. - Foto BERNAMA
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam. - Foto BERNAMA

VAR dijangka dilaksanakan hujung tahun ini

KUALA LUMPUR: Sekalipun video bantuan pengadil (VAR) dianggap bukan penyelesaian terhadap isu kepengadilan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tetap serius dengan kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung penggunaan teknologi itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam menjelaskan menerusi perbincangan lebih lanjut dengan badan induk itu, pihaknya gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan dalam masa singkat berhubung perancangan untuk penggunaan sistem bantuan berkenaan.

"Kita berharap dapat mencuba teknologi itu dan dibantu pegawai perlawanan yang berkelayakan pada hujung tahun ini. Bagi mengendalikan VAR, sistem itu boleh dilaksanakan dengan cepat, namun kursus bagi pengadil memakan masa yang lama.

"Menerusi jangkaan daripada percaturan dalam MFL dan FAM sendiri, mungkin hujung tahun (dilaksanakan) kerana kita memerlukan masa enam ke tujuh bulan bagi latihan. Kita juga tidak mahu tergesa gesa disebabkan dua perkara iaitu kos dan latihan.

"Jadi kita juga perlu melihat mengenai latihan untuk pegawai perlawanan dan menguji mereka dalam perlawanan," katanya.

Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan mengesahkan teknologi VAR akan mula diperkenalkan pada tahun ini dalam saingan Liga M.

Beliau bagaimanapun berkata, penggunakannya tidak secara menyeluruh kerana hanya membabitkan perlawanan penting seperti suku akhir, separuh akhir dan final Piala FA serta Piala Malaysia.

Mengulas lanjut, Stuart menjelaskan 'butang' tetap berada di tangan FAM memandangkan pihak terbabit mengendalikan aktiviti kepengadilan dan penggunaan VAR perlu dijawab dengan teliti oleh FAM.

"Jangka masa penggunaan itu adalah keputusan daripada FAM. Ini kerana MFL hanyalah pengendali liga dan pengendalian pengadil di bawah FAM. Apabila FAM sudah bersedia hujung tahun ini, kita akan dimaklumkan," katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, kos memasang VAR di satu-satu stadium dikatakan boleh mencecah sehingga AS$150,000 (RM664,000), dengan nilai sekitar RM7.5 juta untuk 12 stadium dalam saingan Liga Super.

Berita Harian X