KUALA LUMPUR: "Menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim".
Itu reaksi bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan lantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan penasihat belia Johor.
Kenyataan itu dibuat Khairy pada ruangan Instagram Story miliknya sambil memuat naik gambar tangkap layar pengumuman pelantikannya oleh kelab berkenaan.
Saya telah bertemu Khairy Jamaluddin & bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor & sebahagian Lembaga Pengarah JDT.
Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia & kemajuan bola sepak Johor. pic.twitter.com/S476jwWNQl— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) February 15, 2023
Sebentar tadi, Tunku Ismail mengesahkan beliau sudah bertemu dengan Khairy dan bersetuju untuk melantik bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai penasihat belia Johor dan Ahli Lembaga Pengarah JDT.
TMJ dalam kenyataan pada akaun Twitter miliknya berkata, pengalaman luas Khairy dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia dan kemajuan bola sepak Johor.