Rabu, 8 Februari 2023 | 11:26am
Aksi penyerang JDT, Arif Aiman Hanapi (dua kanan) ketika bersaing dengan pemain Zenit St Petersburg pada aksi persahabatan di Dubai, semalam. - Foto ihsan Johor Southern Tigers.
Aksi penyerang JDT, Arif Aiman Hanapi (dua kanan) ketika bersaing dengan pemain Zenit St Petersburg pada aksi persahabatan di Dubai, semalam. - Foto ihsan Johor Southern Tigers.

Penyerang Zenit St Petersburg `tabik' JDT

KUALA LUMPUR: Sekalipun menghuni ranking yang bagaikan 'langit dengan bumi' namun penyerang Zenit St Petersburg, Claudinho mengakui juara Liga Super sembilan kali berturut turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah sebuah pasukan yang sangat baik.

Skuad Harimau Selatan itu dibenam juara Liga Russia 3-0 pada aksi terakhir pramusim mereka di Dubai menerusi jaringan Rodrigo, Malcom dan juga Danila Kozlov.

Claudinho bagaimanapun tidak menganggap kekalahan itu mencerminkan kualiti sebenar skuad bimbingan Esteban Solari itu memandangkan mereka memiliki barisan pemain yang berkualiti.

"Kemenangan ini lebih manis kerana ini kali pertama Zenit St Petersburg menentang pasukan daripada Malaysia. Tetapi saya melihat mereka adalah pasukan yang bagus dan bersedia untuk berjuang.

"Saya juga sempat berbual dengan beberapa pemain dari Brazil yang mewakili pasukan itu. Mereka berada pada tahap yang terbaik dan memiliki beberapa pemain yang berkualiti.

"Perlawanan ini sangat menghiburkan," katanya menerusi laman sesawang pasukan itu.

Berdasarkan semakan di Internet, Zenit St Petersburg yang turut beraksi dalam Liga Juara Juara Eropah itu menghuni kedudukan ke-58 dunia sementara JDT pula berada pada ranking ke-1450 dunia.

Sebagai rekod, JDT mengharungi lima perlawanan pramusim di Dubai di mana mereka membuka kempen dengan tewas 0-2 kepada FC Rostov.

Mereka kemudiannya bangkit merakam dua kemenangan berturut turut apabila menewaskan Fursan Hispania 3-0 dan 1-0 menentang Lokomotiv Moscow.

Sementara itu, satu lagi aksi persahabatan JDT ketika berdepan Levski Sofia ditamatkan lebih awal susulan pergaduhan pemain.

Berita Harian X