LONDON: Pasukan pembelaan Manchester City akan diketuai peguam terkenal yang menasihati bekas Perdana Menteri, Boris Johnson dalam siasatan Partygate bagi berdepan dakwaan Liga Perdana Inggeris (EPL)
City berdepan 100 pertuduhan melanggar peraturan kewangan EPL dalam tempoh sembilan tahun yang boleh menyebabkan mereka kehilangan mata atau disingkirkan terus daripada liga utama.
Mereka sudah meminta Lord Pannick KC yang memainkan peranan penting dalam menukar penggantungan dua tahun Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam kejohanan Eropah di Mahkamah Timbang Tara Sukan pada 2020.
Dikenali sebagai seorang daripada peguam berprofil tinggi di negara ini, Pannick juga pernah mengalahkan kerajaan Johnson di Mahkamah Agung dan mengejutkan Parlimen empat tahun lalu.
Pannick dilaporkan mengenakan caj £5,000 sejam (RM25,903) untuk khidmatnya yang meletakkan dirinya sebagai antara mereka yang menerima gaji tertinggi dalam EPL.
Ia mewujudkan keyakinan di kelab juara bertahan itu bahawa mereka boleh mempertahankan dakwaan di depan suruhanjaya bebas.
Pada penghujung hari semalam, keadaan di Akademi Bola Sepak City yang menjadi tempat pemain dan pekerja bertugas, digambarkan sebagai tenang selepas pengumuman mengejutkan kelmarin.
Eksekutif menemui skuad kendalian Pep Guardiola beberapa jam selepas pengumuman dan berkata kelab berkenaan akan membersihkan namanya.
Berita Isnin lalu bukan sahaja memberi impak kepada pemain City tetapi juga kepada mereka yang terbabit dalam pasukan sebelumnya yang didakwa melanggar peraturan.
Sebahagian daripada mereka curiga akan hukuman akan dikenakan dan kesan kepada gelaran yang sudah dirangkul mereka ketika berada di Stadium Etihad.
- AGENSI