TANGIERS, Maghribi: Salem Al-Dawsari meledak dua penalti ketika Al Hilal menewaskan Flamengo 3-2 awal pagi tadi untuk mara ke final Piala Dunia Kelab di Maghribi.
Pasukan dari Arab Saudi itu akan menentang juara satu lagi separuh akhir awal pagi ini antara juara Eropah, Real Madrid dan wakil Mesir, Al Ahly.
Sepakan penalti pertama Al-Dawsari hadir pada minit keempat selepas Luciano Vietto dikasari pertahanan kanan Flamengo, Matheuzinho.
Penyerang Arab Saudi itu menjadi pemain pertama menjaringkan gol berdepan lawan yang sama dalam dua edisi Piala Dunia Kelab selepas aksi pertama berdepan kelab Brazil itu pada 2019.
Pasukan itu sama kedudukan selepas sejam apabila penyerang, Pedro mengatasi penjaga gol berusia 36 tahun, Abdullah Al Muaiouf.
Penalti kedua Al-Dawsari hadir sembilan minit dalam masa tambahan babak pertama selepas Vietto dijatuhkan bekas rakan sepasukan di Marseille, Gerson.
Berbaki 20 minit permainan, Al Hilal semakin hampir ke final apabila Vietto menaringakn gol hasil hantaran Al-Dawsari.
Dalam enam minit masa tambahan, Pedro mengurangkan defisit dengan tampanan mudah ke gawang tetapi ia belum cukup untuk mencipta kebangkitan buat juara Copa Libertadores itu. - AFP