Selasa, 7 Februari 2023 | 12:47pm
Arif Aiman diasak tiga pemain Zenit pada aksi persahabatan di Dubai malam tadi.
Arif Aiman diasak tiga pemain Zenit pada aksi persahabatan di Dubai malam tadi.

JDT rancang aksi pramusim di Eropah

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) merancang untuk mengadakan aksi pramusim di Eropah pula pada tahun depan selepas mengharungi siri pramusim tahun ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

JDT menamatkan aksi pramusim di Dubai dengan kekalahan 0-3 di tangan juara Liga Russia, Zenit St Petersburg, malam tadi.

Pada aksi terakhir menentang gergasi Russia itu, skuad Harimau Selatan tewas hasil jaringan Rodrigo, Malcom dan jaringan Danila Kozlov dengan semua gol dihasilkan pada babak pertama.

Ketua jurulatih JDT, Esteban Solari mengakui empat aksi persahabatan kompetitif yang diharungi di UAE amat penting buat pasukannya sebagai persediaan menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirai pada 24 Februari depan.

Solari berkata, dia sudah menjangka kekalahan di tangan Zenit kerana standard tinggi yang dimiliki pasukan lawan.

"Ini adalah perlawanan yang kami sememangnya perlukan untuk memastikan kami 'humble' dan tidak mengambil apa-apa dengan mudah sebelum bermulanya musim 2023.

"Dengan menentang lawan yang mempunyai standard yang lebih tinggi, dalam situasi ini berdepan juara Liga Russia yang bermain di Liga Juara-Juara Eropah akan membantu kami untuk belajar dan bertambah baik.

"Ini adalah satu-satunya cara untuk kami menjadi lebih mantap dan lebih kuat.

"Malah, saya telah berbincang dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik JDT) dan berkemungkinan kami akan mengadakan kempen pramusim di Eropah pula pada tahun depan," kata pengendali import dari Argentina itu.

JDT sebelum ini mengharungi empat perlawanan di Dubai dengan tewas 0-2 kepada FC Rostov pada aksi pertama sebelum menang 3-0 dan 1-0 ke atas Fursan Hispania dan Lokomotiv Moscow.

Sementara itu, satu lagi aksi persahabatan JDT ketika berdepan Levski Sofia ditamatkan lebih awal susulan pergaduhan pemain.

Berita Harian X