LONDON: Pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) menggesa Manchester City disingkirkan jika didapati bersalah melanggar lebih 100 peraturan Financial Fair Play (FFP).
Pasukan dari Etihad terkejut apabila ketua EPL membuat dakwaan berkenaan selepas siasatan empat tahun terhadap kewangan kelab.
Ketika City berang dengan dakwaan itu, kelab EPL meminta pendakwaan berjalan lancar dan hukuman dikenakan sebelum tamat musim ini.
Seorang daripada ketua kelab berkenaan berkata: "Jika dakwaan ini dapat dibuktikan, mesti ada hukuman setimpal - dan hanya satu yang sesuai ialah mereka disingkirkan.
"Kita bercakap mengenai kesalahan dilakukan berdekad lamanya dan mahu EPL melakukan perkara yang betul."
Keputusan membawa 30 daripada 115 dakwaan melanggar peraturan - dan ditandatangani ahli majlis EPL termasuk ketua eksekutif Richard Masters - hadir secara tiba-tiba buat City yang hanya menyedarinya menerusi panggilan telefon kepada ketua eksekutif, Ferran Soriano.
Daripada dakwaan berkenaan, paling besar ialah City didakwa gagal memberikan "maklumat kewangan tepat" terhadap kewangan kelab antara musim 2009-10 dan 2017-18.
City didakwa menyembunyikan sumber sebenar pendapatan mereka berjumlah jutaan pound.
Wang berkenaan, yang didakwa sebagai penajaan sah daripada syarikat berpangkalan di Teluk termasuk Etihad Airways dan syarikat pelaburan, Aabar dikatakan adalah hasil secara langsung daripada Kumpulan Abu Dhabi United. - AGENSI