LONDON: Penyerang Liverpool, Darwin Nunez mengakui dia bergelut untuk menyesuaikan diri dalam musim pertamanya di Liga Perdana Inggeris (EPL) namun berharap dapat mengulangi pencapaian bekas pemain disayangi penyokong kelab itu, Luis Suarez dan 'meletup' pada masa depan.
Nunez menjaringkan 10 gol dalam 25 aksi sejak berpindah dengan rekod kelab dari Benfica musim panas lalu, namun persembahannya secara keseluruhan membuatkan penyokong berbelah bagi.
Pemain Uruguay itu sentiasa mencetuskan masalah buat pertahanan lawan tetapi dikritik kerana banyak mensia-siakan peluang.
Dalam temubual bersama Sky Sports, Nunez mengakui dia masih menyesuaikan diri kepada gaya fizikal EPL dan mengesahkan bahawa Klopp menasihatinya untuk kekal tenang di depan gawang.
"Saya tidak rasa saya bermain baik ketika ini, tapi saya sentiasa mahu meningkat," kata Nunez. "Saya cuba meningkat setiap hari.
"Klopp tahu kekuatan saya ialah kepantasan, berlari masuk ke dalam ruang. Selain itu dia juga beritahu supaya saya lebih tenang ketika bermain, itulah yang saya perlu lebih lakukan.
"Dia beritahu saya perlukan itu, dan saya pemain yang ada banyak kualiti. Jadi itu antara lain yang dimahukan daripada saya - dan sudah tentu, saya perlu jaringkan gol.
"Dia memberitahu saya bahawa saya perlu tenang dalam perlawanan ketika mahu melakukan penyudah.
"Dia mahu saya agak lambat sedikit, kerana saya menyepak dengan rasa marah, kerana jika saya menyepak dengan marah, atau tergesa-gesa, ia sentiasa tidak akan menjadi.
"Dia juga meminta saya mengambil sedetik lebih lama, dengan tenang, dan saya akan menjaringkan gol."
Nunez dibandingkan dengan rakan sepasukan antarabangsa, Luis Suarez yang mengambil sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan EPL selepas menyertai Liverpool pada perpindahan Januari 2011. - Agensi