KUALA LUMPUR: Adakah penyerang kebangsaan, Safawi Rasid sudah pulih daripada kecederaan yang dialaminya ketika aksi Liga Thai berdepan Lamphun Warrior di Stadium Chiang Mai, minggu lalu?
Spekulasi itu diperkuat selepas gambar pemain berusia 26 tahun itu menghiasi poster perlawanan Ratchaburi FC bagi aksi berdepan Nongbua Pitchaya di laman sendiri, Ahad ini.
Hantaran di laman Facebook Ratchaburi FC itu dibanjiri dengan komen daripada penyokong Malaysia yang jelas mahu menyaksikan pemain itu kembali beraksi di padang.
Malah, ada yang mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain yang dipinjamkan daripada juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.
Sebelum ini, Safawi berdepan kecederaan apabila diterjah pertahanan Lamphun Warrior, Mika Chunuonsee pada minit ke-54 ketika pemain itu sedang cuba melancarkan serangan.
Terjahan itu menimbulkan kerisauan memandangkan Safawi kelihatan benar-benar kesakitan menerusi reaksinya yang berguling-guling menahan kesakitan.
Selepas semakan menerusi video bantuan pengadil (VAR), Chunuonsee dilayangkan kad merah susulan insiden itu.
Pada aksi itu, kedua dua pasukan berkongsi satu mata apabila terikat 1-1 dengan Safawi turut melakukan tindakan menyelamat daripada bola memasuki gawang pasukannya.