KUALA LUMPUR: Malaysia terus 'mendunia' apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027.
Pemilihan itu dilakukan pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke-33 yang berlangsung di Manama, Bahrain, sebentar tadi.
"Sekalung tahniah buat Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 yang disahkan di Kongres AFC ke-33 di Bahrain, hari ini," kata FAM menerusi akaun Facebook miliknya.
Berdasarkan pemilihan yang dilakukan, Hamidin mendapat 30 undian sekali gus membolehkan beliau mengisi lima kerusi ahli majlis badan induk bola sepak antarabangsa itu daripada tujuh calon yang bertanding.
Empat lagi yang turut memenangi pemilihan terbabit adalah Sheikh Hamad Khalifa A A Al Thani dari Qatar dengan 40 undi dan Yasser A Almisehal dari Arab Saudi dengan 35 undi.
Kohzo Tashima dari Jepun memperolehi 39 undi sementara Mariano V Araneta Jr dari Filipina mendapat 34 undian.
Dua lagi calon iaitu Mong Gyu Chung (Korea Selatan) mendapat 19 undi sementara wakil China, Du Zhaocai mendapat 18 undi.
Mengikut rekod, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi wakil Malaysia pertama dalam Majlis FIFA susulan kemenangan baginda pada Kongres 2015.
Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah pula pernah berkhidmat sebagai naib presiden FIFA dari 1982 hingga 1990.
Dalam perkembangan sama, Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa berjaya mengekalkan jawatan tertinggi konfederasi itu tanpa bertanding bagi tempoh empat tahun lagi.