Rabu, 1 Februari 2023 | 12:33pm
Model Stadium Shah Alam bertaraf dunia yang akan dibina berkonsepkan kelestarian hijau dan moden. - Foto NSTP/Genes Gulitah
Model Stadium Shah Alam bertaraf dunia yang akan dibina berkonsepkan kelestarian hijau dan moden. - Foto NSTP/Genes Gulitah

JDT tak sabar uji Stadium Shah Alam

KUALA LUMPUR: Di sebalik kos pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu yang menimbulkan tanda tanya namun pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan gergasi bola sepak tempatan itu tidak sabar untuk beraksi di gelanggang serba moden itu.

Menerusi Instastory Tunku Ismail semalam, beliau mengharapkan Stadium Shah Alam yang baharu itu dapat direalisasikan sekali gus menjadi kebanggaan kepada rakyat Selangor.

"Walaubagaimanapun saya berharap semoga Stadium Shah Alam yang baru menjadi satu kenyataan dimana rakyat Selangor boleh berbangga.

"Kami Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) pun tak sabar untuk beraksi distadium tersebut dan juga berharap lebih banyak stadium yang secanggih seperti ini boleh dibangunkan kerana ia akan meniadi satu kebanggaan untuk negara dalam industri bolasepak negara," kata Tunku Ismail.

Terdahulu, Tunku Ismail menjelaskan beliau tidak cemburu dengan pembinaan stadium terbabit apabila mempertikai kos pembinaan stadium berkenaan yang membabitkan kos lebih RM700 juta.

Tunku Ismail sebaliknya menjelaskan bahawa beliau musykil dengan kos pembinaan itu yang dianggap terlalu murah sedangkan ia membabitkan penggunaan kelengkapan berteknologi canggih.

Sebelum ini, menerusi video acah yang dikongsikan laman Menteri Besar Incorporated (MBI), Stadium Shah Alam bakal menjadi stadium bertaraf dunia dengan kapasiti kira-kira 35,000 hingga 45,000 tempat duduk.

Stadium terbabit turut memiliki papan skor elektronik, ruang legar mesra orang kelainan upaya (OKU), ruang korporat dan bilik persalinan, dilengkapi kawalan kelembapan dalaman (indoor humidity control), salutan seramik ETFE serta sistem penyejukan tempat duduk.

Lebih menarik, stadium terbabit boleh menjadi venue untuk acara dalaman memandangkan padang boleh 'disembunyikan' menerusi penggunaan padang boleh alih untuk bertukar daripada mod sukan kepada acara dalaman.

Tampil dengan rekaan inovatif, pembangunan semula Stadium Shah Alam turut memberi fokus kepada kelestarian dan zon aktiviti gaya hidup sihat.

Ini menerusi pembinaan taman permainan di sekitar stadium, kemudahan komuniti serta zon rekreasi hijau selain hab rekreasi dan komuniti lestari yang turut dilengkapi dengan ruang niaga dan ruang komersial.

Berita Harian X