Jumaat, 27 Januari 2023 | 8:48am
Pemain pinjaman Manchester United, Wout Weghorst meraikan jaringan pertamanya untuk kelab itu ketika aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Nottingham Forest. - Foto AFP
Pemain pinjaman Manchester United, Wout Weghorst meraikan jaringan pertamanya untuk kelab itu ketika aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Nottingham Forest. - Foto AFP

Weghorst mahu kekal di Old Trafford

MANCHESTER: Wout Weghorst percaya dia mampu terus kekal di Old Trafford sebaik tempoh pinjamannya ke Manchester United tamat.

Penyerang Belanda itu menyertai United sehingga akhir musim ini selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu bersetuju dengan pakej pampasan bernilai 2.5 juta pound (RM13.12 juta) untuk menamatkan perjanjiannya di kelab Turki, Besiktas selepas dipinjamkan oleh Burnley.

Weghorst membuat penampilan ketiganya ketika aksi Piala Liga di Nottingham Forest dan menjaringkan gol pertamanya untuk United dalam kemenangan 3-0 itu.

United belum ada perancangan untuk menjadikannya pemain tetap selepas musim panas ini, dengan sasaran utama mereka ialah mendapatkan penyerang Tottenham, Harry Kane.

Ketika ditanya sama ada dia mampu membuktikan kepada pengendali United, Erik ten Hag yang dia mampu kekal lebih lama di Old Trafford, Weghorst berkata: "Sudah tentu. Situasi sekarang adalah secara pinjaman. Ia kelab yang besar jadi saya akan melakukan sebaik mungkin, dan jika berjaya ia akan menjadi pilihan yang baik.

"Dari hari pertama saya lihat betapa besarnya kelab ini - kemudahannya, kelab, kualiti pasukan, cara mereka bermain. Semuanya berkualiti dan ia sesuatu yang menarik minat anda, suasana kemenangan di sini.

Wout Weghorst dan Marcus Rashford meraikan jaringan untuk Manchester United ketika aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Nottingham Forest. - Foto AFP
Wout Weghorst dan Marcus Rashford meraikan jaringan untuk Manchester United ketika aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Nottingham Forest. - Foto AFP

"Saya rasa minggu pertama berjalan lancar dan ia terpulang kepada saya untuk memberi sumbangan serta membantu pasukan dengan sebaik mungkin. Saya yakin saya mampu memainkan peranan.

"Kelab sedang mencari seorang penyerang utama. Dengan (Anthony) Martial hanya ada satu penyerang tulen, lebih kepada nombor 9. Mereka mahu menambah seorang lagi dan ia terpulang kepada saya untuk mengambil peluang itu."

Pemain Belanda itu turut memuji Marcus Rashford yang menjaringkan gol ke-10nya dalam 10 perlawanan untuk meletakkan United di depan pada aksi separuh akhir berkenaan.

"Dia mempunyai kualiti tinggi. Dia juga seorang yang baik, sangat terbuka, dan antara yang pertama datang kepada saya ketika saya menjaringkan gol.

"Kami mempunyai hubungan baik. Dia sangat penting kepada kami, cara dia bermain, peranannya cukup besar," katanya.

Berita Harian X