KUALA LUMPUR: Kemasukan beberapa pemain import baharu yang berkelana dalam Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2023 menyaksikan senarai 12 pemain termahal berdasarkan nilai pasaran mereka turut 'berubah'.
Menerusi dapatan daripada laman sesawang terkenal, transfermarkt.com, senarai 12 pemain termahal didominasi oleh juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan lapan pemainnya berada dalam kedudukan terbabit.
Namun, takhta pemain termahal Liga M masih kekal menjadi milik pertahanannya, Jordi Amat pada nilai RM4.67 juta, sekali gus meneruskan penguasaan status terbabit seperti pernah dipegang beberapa pemain skuad Harimau Selatan sebelum ini.
Malah, lima slot teratas diisi skuad bimbingan Esteban Solari itu dengan Fernando Forestieri menjadi pemain kedua termahal pada nilai RM3.97 juta.
Dua pemain import baharu mereka iaitu Oscar Arribas dan Juan Muniz masing-masing bernilai RM2.33 juta manakala penggempur berbisa mereka yang meledak 29 gol dalam saingan Liga Super 2022, Bergson da Silva berada di tangga kelima dengan nilai sama.
Penyerang baharu Kedah Darul Aman (KDA FC), Willian Lira menjadi muka baharu dalam senarai 10 pemain termahal Liga M apabila bernilai RM2.1 juta selepas nilai pasaran pemain itu meningkat sebanyak RM466,000.
Sementara itu, tiga pemain berkongsi 'tag harga' yang sama pada nilai RM1.86 juta iaitu penyerang baharu Kuching City, Sirozhiddin Kuziev ; seorang lagi penyerang baharu KDA FC, Ebenezer Assifuah serta bintang muda skuad Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi.
Pada nilai RM1.86 juta itu, Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) itu muncul sebagai pemain Malaysia termahal.
Melengkapkan senarai adalah dua lagi pemain JDT, La Vere Corbin Ong dan Matt Davies (RM1.74 juta) dan nilai itu turut dikongsi bersama pemain import baharu Selangor FC, Noor Al Rawabdeh.
Senarai pemain termahal Liga M
1.Jordi Amat (JDT) RM4.67 juta
2. Fernando Foriesteri (JDT) RM3.97 juta
3.Oscar Arribas (JDT) RM2.33 juta
4.Juan Muniz (JDT) RM2.33 juta
5. Bergson da Silva (JDT) RM2.33 juta
6. Willian Lira KDA (KDA FC) RM2.1 juta
7. Sirozhiddin Kuziev (Kuching City) RM1.86 juta
8. Arif Aiman Hanapi (JDT) RM1.86 juta
9. Ebenezer Assifuah (KDA FC) RM1.86 juta
10. La Vere Corbin Ong (JDT) RM1.74 juta
11. Matt Davies (JDT) RM1.74 juta
12. Noor Al Rawabdeh (SFC) RM1.74 juta