Rabu, 25 Januari 2023 | 8:20pm
Pemain sedang memanaskan badan di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi. Padang bakal ditukar dengan rumput jenis Zeon Zoysia pada tahun depan.
Pemain sedang memanaskan badan di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi. Padang bakal ditukar dengan rumput jenis Zeon Zoysia pada tahun depan.

STAR dijangka guna rumput Zeon Zoysia tahun depan

SEREMBAN: Proses penukaran rumput jenis Zeon Zoysia di kawasan padang Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, di sini, dijangka hanya dapat dilakukan pada tahun depan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali, berkata buat masa ini pihaknya akan memberikan tumpuan kepada kerja baik pulih sistem saliran di padang berkenaan.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap pengurusan stadium itu, pihaknya menyambut baik cadangan untuk menukar rumput jenis Zeon Zoysia.

"Penggantian rumput jenis Zeon Zoysia di stadium ini tidak dilaksanakan pada waktu terdekat. Memang ada tawaran dari Kementerian Belia dan Sukan (penggantian rumput), ia hanya untuk padang sahaja.

"Namun, kami perlu baiki sistem saliran dahulu. Ia akan ambil masa sedikit dan bukan musim ini, bukan dalam masa terdekat kerana keutamaan perlu diberikan kepada membetulkan saliran," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani, memaklumkan KBS bersetuju membantu kerajaan negeri menukar jenis rumput sedia ada di Stadium Tuanku Abdul Rahman kepada rumput jenis Zeon Zoysia.

Sementara itu, Masri berkata, pihaknya kini dalam proses melantik kontraktor bagi kerja-kerja pemasangan kerusi baharu bagi tempat duduk penonton di stadium berkenaan.

Katanya, fasa pertama pemasangan kerusi dengan kos sebanyak RM1.3 juta hasil pinjaman mudah dari kerajaan negeri itu hanya akan membabitkan bahagian teres bawah tempat duduk penonton termasuk di bahagian berbumbung (grandstand).

"Projek ini dijangka akan bermula pada Mac ini dan akan dilaksanakan biarpun Liga Malaysia akan bermula tidak lama lagi. Namun ia tidak akan mengganggu perjalanan liga," katanya.

Katanya, pemasangan kerusi bernombor itu bagi memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pengendali Liga Malaysia.

Berita Harian X