Isnin, 23 Januari 2023 | 5:04pm
Pengendali sementara Penang FC, Manzoor Azwira. - Foto ihsan FB FA Penang
Pengendali sementara Penang FC, Manzoor Azwira. - Foto ihsan FB FA Penang

Manzoor sasar pertingkat pencapaian hambar Harimau Kumbang

KUALA LUMPUR: Misi untuk memperbaiki pencapaian hambar musim lalu menjadi sasaran paling realistik buat pengendali sementara Penang FC, Manzoor Azwira bagi mengharungi musim 2023.

Enggan meletakkan janji bulan dan bintang, Manzoor mahu bersikap rasional apabila melihat kekuatan skuad Harimau Kumbang selepas hampir melengkapkan senarai pemain yang bakal menguatkan cabaran pasukan terbabit.

Dia menegaskan pencapaian untuk meletakkan pasukani dalam kelompok lapan sehingga 10 terbaik sudah dianggap memadai dengan mereka tidak lagi berada di dasar liga seperti dialami sepanjang musim lalu.

"Saya tidak mahu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi dan sukar untuk dicapai kerana pasukan lain juga begitu serius menambah kualiti pemain. Penang dalam fasa pembentukan semula pasukan dan saya mengharapkan pasukan ini ada kualiti yang lebih baik dari musim 2022.

"Tambahan pula, saya bukanlah jurulatih berpengalaman malah yang sudah lama berkecimpung selaku jurulatih, belum tentu dapat menaikkan semula sesuatu pasukan.

"Jadi, saya harap kerjasama daripada semua pihak untuk membantu menaikkan semula Penang serta boleh memberi saingan kepada pasukan lain. Jika kami boleh mencapai sesuatu yang di luar jangkaan, saya anggap ia sebagai bonus," katanya.

Sebagai rekod, musim 2022 menjadi salah satu detik hitam pencapaian Penang apabila menamatkan cabaran Liga Super di tangga terakhir dengan hanya menoktahkan dua kemenangan selain tersingkir awal di Piala Malaysia.

Hanya kejayaan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA yang mampu dibanggakan pasukan dari utara itu sebelum tewas 6-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Berita Harian X