KUALA LUMPUR: Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid hampir meraih debut idaman pada penampilan sulung bersama kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC apabila meledak gol pada babak akhir ketika berdepan Khon Kaen United, semalam.
Namun sayangnya, pemain yang dipinjamkan daripada juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak bernasib baik apabila jaringan sulungnya pada minit kelima masa tambahan itu dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana ofsaid.
Safawi Rasid almost made first score for Ratchaburi FC today but VAR does not give a goal
AIS Play#ThaiLeague #RBFC #SafawiRasid#SNESports pic.twitter.com/beoiwmmWmG— SNEsports (@SNE_Sports) January 21, 2023
Jaringan itu dihasilkan berpunca daripada sepakan percuma dan Safawi pantas memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gol untuk merobek gawang Khon Kaen United pada aksi di Stadium Mitr Pohl itu.
Pada aksi terbabit, pemain berusia 26 tahun itu masuk pada babak kedua bagi menggantikan Anon Amornlerdsak namun misi pasukannya meraih kemenangan menjadi perit apabila Hein Phyo Win dilayangkan kad merah pada minit ke-48.
Situasi itu memberi kelebihan besar buat pelawat yang meledak dua gol dalam tempoh lima minit menerusi Youssef Ezzejjari (m74) dan Phalakon Wokiang (m79) untuk kemenangan 2-0 buat Khon Kaen United.
Keputusan itu menyaksikan Ratchaburi FC tewas dua perlawanan berturut turut dan gagal memintas Chonburi FC apabila kekal di tangga keempat dengan 29 mata - 10 mata di belakang pendahulu, Buriram United.
Seorang lagi pemain Harimau Selatan, Moussa Sidibe diturunkan dalam kesebelasan utama dan bermain 90 minit.