LONDON: Erik ten Hag berkata keputusannya tepat untuk meletakkan Casemiro dalam kesebelasan utama ketika Manchester United seri 1-1 di Crystal Palace.
Pemain tengah United itu kemudian dilayangkan kad kuning yang menghalangnya daripada beraksi menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Ahad ini.
Casemiro digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kelimanya musim ini, kerana mengasari pemain Palace, Wilfired Zaha pada minit ke-80 aksi di Selhurst Park.
United begitu hampir untuk melonjak ke tangga kedua liga selepas Bruno Fernandes membuka jaringan di akhir babak pertama, tetapi jaringan Michael Olise menerusi sepakan percuma menafikan kemenangan pelawat.
Kad kuning Casemiro menjejaskan persiapan United untuk memburu Arsenal, yang kini mempunyai kelebihan lapan mata ke atas anak buah Ten Hag.
"Perlawanan ini (menentang Palace) cukup penting. Setiap perlawanan adalah penting. Setiap perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris adalah perlawanan besar.
"Casemiro jelas sekali cukup penting buat kami, dan dia adalah antara faktor kami berada di posisi sekarang. Itulah Casemiro.
"Tetapi kali terakhir kami menewaskan Arsenal tanpa Casemiro, jadi kami mempunyai skuad, kami hanya perlu mengisi kekosongan itu dan membuat perancangan rapi," kata Ten Hag.
Casemiro masuk sebagai pemain gantian di akhir permainan ketika kemenangan 3-1 ke atas The Gunners pada September, dengan Marcus Rashford meledak dua gol dan satu daripada Antony di Old Trafford. - AFP