Rabu, 18 Januari 2023 | 9:19pm
EXCO Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani (dua kanan) bersama penganjur Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan menunjukkan trofi yang dipertandingkan pada sidang media di Wisma Negeri, Seremban, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
EXCO Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani (dua kanan) bersama penganjur Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan menunjukkan trofi yang dipertandingkan pada sidang media di Wisma Negeri, Seremban, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi dinaik taraf RM1.2juta

SEREMBAN: Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, di sini, akan dinaik taraf membabitkan tempat duduk penonton bagi memenuhi piawaian sebagai venue kejohanan bola sepak bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, kerja menaik taraf itu akan dimulakan pada Mac ini membabitkan kos berjumlah RM1.2 juta.

Katanya, ketika ini tempat duduk penonton sedia ada di stadium berkenaan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan badan bola sepak antarabangsa.

"Kita perlu tukar kerusi tempat duduk penonton di stadium itu kepada kerusi khas yang baik dan mempunyai nombor.

"Ia menjadi syarat oleh badan antarabangsa jika kita berhajat menjadikan stadium berkenaan sebagai venue perlawanan bola sepak bertaraf antarabangsa seperti yang dianjurkan oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) atau Kejohanan Bola Sepak ASEAN (AFF)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan 2023, Piala Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Mohamad Taufek yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata, pihaknya yakin projek penukaran kerusi tempat duduk berkenaan akan selesai menjelang pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah memberi kelulusan untuk menukar rumput di STAR kepada jenis Zeon Zoysia.

Menurutnya, rumput jenis itu digunakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Johor, Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Nasional Singapura dan Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.

"Ini tawaran daripada Menteri Belia dan Sukan sendiri, Hannah Yeoh dan kita menyambut baik tawaran beliau itu.

"Projek ini membabitkan peruntukan sama rata antara KBS dengan kerajaan negeri dan pelaksanaannya akan bergantung kepada kerja-kerja tanah yang mungkin perlu dilaksanakan," katanya.

Mohamad Taufek berkata, bagaimanapun tarikh pelaksanaan projek penukaran rumput itu belum ditetapkan lagi kerana pihaknya perlu meneliti terlebih dulu keadaan padang stadium berkenaan.

"Jika tiada masalah yang berbangkit mungkin penukaran rumput baharu itu nanti dapat dilakukan selepas penukaran kerusi tempat penonton selesai dilaksanakan," katanya.

Untuk rekod, rumput Zeon Zoysia mempunyai sistem akar yang luas, pertumbuhan rizom yang kuat, dan ia menghasilkan rumput padat tebal yang pulih dengan cepat daripada kerosakan dan diperakui dalam ujian terkawal oleh National Turf grass Evaluation Programme (NTEP).

Berita Harian X