Isnin, 16 Januari 2023 | 9:40am
Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale bergaduh dengan penyokong Tottenham Hotspur selepas perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur. - REUTERS
Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale bergaduh dengan penyokong Tottenham Hotspur selepas perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur. - REUTERS

Tottenham janji tindakan paling tegas

LONDON: Tottenham berjanji akan "mengambil tindakan paling tegas" selepas penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale hampir disepak penyokong selepas kemenangan 2-0 Gunners dalam pertembungan utara London awal pagi tadi.

"Kami kesal dengan kelakuan penyokong yang cuba menyepak penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale pada penghujung aksi hari ini," kata Tottenham dalam satu kenyataan.

"Keganasan dalam sebarang bentuk tiada tempat dalam bola sepak."

"Kelab sudah melihat semula rakaman CCTV bagi mengenalpasti penyokong terbabit dan akan bekerjasama dengan Met Police, Arsenal dan Aaron Ramsdale untuk mengambil tindakan paling tegas, termasuk penggantungan serta merta dari Stadium Tottenham Hotspur."

Ramsdale menyelamatkan beberapa cubaan penting untuk membantu Arsenal mencipta jurang lapan mata di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kemenangan pertama di tempat lawan itu sejak 2014.

Pemain antarabangsa England itu bertelagah dengan penyerang Tottenham, Richarlison selepas meraikan kemenangan di depan tempat duduk belakang gol.

Penyokong kemudian melompat melepasi papan tanda iklan di tepi padang dan mahu menyepak Ramsdale.

Pertahanan Spurs, Eric Dier, menyifatkan insiden itu "tidak boleh diterima."

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) berkata serangan itu "berlaku terlalu kerap" dan meminta tindakan tegas diambil terhadap penyokong yang ganas. - AFP

Berita Harian X