Sabtu, 14 Januari 2023 | 6:01pm
Aroon Kumar mahu membantu NSFC melakar pencapaian terbaik dalam Liga M musim ini. - Foto Ihsan PJ City FC
Aroon Kumar mahu membantu NSFC melakar pencapaian terbaik dalam Liga M musim ini. - Foto Ihsan PJ City FC
Mohamad Hasbullah Abu Bakar menjadi pemain terbaru yang menyertai NSFC. - Foto ihsan NSFC
Mohamad Hasbullah Abu Bakar menjadi pemain terbaru yang menyertai NSFC. - Foto ihsan NSFC

Empat bekas pemain PJ City perkuat NSFC

SEREMBAN: Empat bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC antara beberapa pemain yang dibawa masuk kelab bola sepak Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Mereka ialah pemain serba boleh berpengalaman, Mahali Jasuli selain pemain

pertahanan, R Aroon Kumar, R Barathkumar dan Zainal Abidin Jamil.

Selain PJ City, Mahali juga pernah beraksi bersama Selangor FC, Johor Darul Ta[zim (JDT) dan PKNS FC.

Pemain lincah ini mampu beraksi di posisi pertahanan kanan, tengah dan juga penyerang.

Dia dijangka bakal menjadi aset kepada skuad bimbingan K Devan itu yang mengidamkan pencapaian lebih baik pada musim ini selepas berjaya menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super musim lalu.

Sementara itu, Aroon Kumar mahu kembali menyinar dan meneruskan sumbangan

terbaik kepada pasukan negeri kelahirannya seperti pernah dipamerkan pada

musim 2021 dengan membantu Negeri Sembilan menjuarai Liga Perdana.

"Saya tidak berfikir panjang apabila Negeri Sembilan mahu menerima saya sebaik mendapat tahu PJ City tidak lagi meneruskan perjuangan pada musim baharu ini.

"Panggilan dan penerimaan itu adalah peluang terbaik untuk kembali bersama pasukan ini yang sebelum ini pernah menaikkan nama saya sejak memulakan karier bola sepak pada tahun 2015.

"Saya berazam untuk membantu meletakkan Negeri Sembilan selaku pencabar terkuat dalam saingan mahupun Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini," kata Aroon di sini, hari ini.

Aroon mengakui semakin serasi dengan rakan-rakan sepasukan sejak memulakan latihan pada awal bulan lalu dan yakin gabungan pemain berpengalaman akan memberi impak positif terhadap kekuatan pasukan untuk bersaing dengan baik.

Sementara itu, bekas pemain JDT dan Melaka United, Mohamad Hasbullah Abu Bakar serta bekas pemain Sabah FC, Tommy Mawat Bada masing-masing antara pemain terbaru yang menyertai skuad berkenaan.

NSFC dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pemain berusia 28 dan 27 tahun itu bakal memperkuatkan bahagian tengah dan pertahanan pasukan terbabit.

"Kedua-dua pemain ini mempunyai pengalaman luas di pentas saingan liga tempatan dan yakin mereka berupaya menggalas amanah yang diharapkan terhadap pasukan," kata NFSC.

Berita Harian X